Siakap Keli

MAIS Lancar Portal e-Edisi, Portal Buletin Ilmiah Buat Masyarakat

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hari ini melancarkan Portal e-Edisi bagi membudayakan transformasi digital seiring dengan perkembangan teknologi masa kini.

Pelancaran e-Edisi disempurnakan oleh YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengerusi MAIS dalam Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2023 di sini hari ini.

e-Edisi merupakan portal buletin perkhidmatan MAIS yang memaparkan isu semasa terutama berkaitan Hal Ehwal Islam amnya termasuk dalam menyampaikan mesej dakwah secara ilmiah kepada masyarakat.

Portal e-Edisi boleh dilayari melalui www.mais.gov.my/e-edisi dan mengandungi segmen iaitu ruangan Fokus, GenQ, Fiqh Kontemporari, Artikel Khas, Info Sihat, Jendela Mahkamah, NGOi, Berita, Celik Jawi, Man Jadda Wa Jadda, Kemusykilan Umat dan Viral Kini.

Sementara itu, Pengerusi MAIS dalam ucapan Perutusan Pengerusi MAIS Tahun 2023 berkata, beliau menekankan kepada semua warga kerja MAIS, Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS agar meningkatkan produktiviti kerja dengan lebih efektif dan efisien terutama dalam aspek tadbir urus yang baik, menepati masa, minat menuntut ilmu, kesegeraan dalam tindakan dan sebagainya.

“Diharapkan agar MAIS bersama Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat sentiasa bekerjasama dan bersatu padu dalam apa jua tindakan serta dapat meneruskan momentum kecemerlangan yang natijahnya akan menghasilkan satu kejayaan yang bermakna untuk semua.

“Secara keseluruhan, MAIS dan Jabatan-Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS sangat penting di antara satu sama lain dalam memacu kejayaan Hal Ehwal Islam,” katanya.

Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian Sumbangan Wakaf Van Jenazah kepada Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Sumbangan Wakaf Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd berjumlah RM50,000 kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) serta Penyampaian Hadiah Projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) MAIS tahun 2022 yang disempurnakan oleh Pengerusi MAIS.

Hadir sama dalam majlis ini ialah YAD Dato’ Haji Emran Haji Kadir, Timbalan Pengerusi MAIS; YAD Dato’ Dr. Haji Anhar Haji Opir, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor;YB Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal merangkap Anggota MAIS, Dato’ Haji Mohd Shahzihan Ahmad, Sahibus Saadah Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Dr. Haji Ahmad Shahir Makhtar, Setiausaha MAIS.

Amira

Love yourself.