Siakap Keli
Nahas Pesawat Nepal
Kredit: ABC News

Nahas Pesawat Nepal: Kotak Hitam Dibawa Ke Singapura

Dua kotak hitam dalam nahas pesawat terhempas di Nepal yang mengorbankan 72 nyawa pada 15 Januari lalu akan dibawa ke Singapura untuk dianalisis, lapor The Independent.

Sebelum ini pegawai bertugas mengatakan bahawa kotak hitam itu akan dibawa ke Perancis (tempat pesawat dibuat) namun, pada hari Khamis penyiasat menyatakan bahawa ia akan dibawa ke Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura.

Jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Rajendra Kumar KC berkata, “Pasukan penyiasat Nepal akan berlepas pada hari Jumaat dengan membawa kotak hitam yang akan dianalisis di sana (Singapura),”

Imbas kembali, pesawat Nepal berkenaan, Yeti Airlines yang sedang dalam perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara dilapor terhempas semasa ingin melakukan pendaratan sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 72 nyawa termasuk warga Nepal, India, AS, Australia, Rusia dan UK.

Pesawat ATR 72-500 enjin berkembar itu jatuh ke dalam gaung ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara di kaki bukit Himalaya iaitu kira-kira 1.6 kilometer dari landasan pada ketinggian sekitar 820 meter.

Malah, sebuah pasukan jawatankuasa turut dibentuk bagi menyiasat penyebab pesawat itu terhempas serta mencari mayat dua orang lagi korban yang belum dijumpai.

Nahas pesawat Nepal
Kredit: The Guardian

Walaupun punca nahas tersebut masih dalam siasatan, namun didapati lapangan terbang yang baru dibuka itu tidak mempunyai sistem pendaratan instrumen berfungsi yang memandu pesawat ke landasan.

Difahamkan, sistem pendaratan instrumen membantu kapal terbang bergerak dengan selamat apabila juruterbang tidak dapat mengawal keadaan sekeliling daripada halangan terutamanya ketika keadaan cuaca teruk atau pada waktu malam.

Menurut para juruterbang, Nepal mempunyai gunung-ganang yang dipercayai boleh menghalang penglihatan dan menyukarkan untuk sesebuah pesawat bergerak mengikut jadual setepatnya.

Tetapi berbeza pula dalam nahas pesawat Nepal yang berlaku baru-baru ini kerana cuaca dilaporkan dalam keadaan baik termasuk langit cerah, angin kencang dan suhu berada pada paras beku.

Sementara ini, jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Jagannath Niroula berkata, “Sistem pendaratan instrumen Lapangan Terbang Antarabangsa Pokhara tidak akan berfungsi sehingga 26 Februari iaitu 56 hari selepas lapangan terbang itu mula beroperasi pada 1 Januari lalu,”

Menurut juruterbang dan juga pengasas Yayasan Keselamatan India, Amit Singh, kekurangan sistem pendaratan instrumen atau alat bantu navigasi boleh menyumbang kepada nahas dan menunjukkan keselamatan udara di Nepal dalam keadaan yang belum terjamin.

“Terbang di Nepal akan jadi mencabar sekiranya anda tidak mempunyai alat bantuan navigasi. Secara tidak langsung perkara ini akan memberi beban kerja tambahan kepada juruterbang apabila mereka mengalami masalah penerbangan,” katanya.

Nahas Pesawat Nepal
Kredit: BBC

Memetik The Independent, nahas itu adalah yang paling teruk sejak 1992 apabila sebuah pesawat Pakistan International Airlines terhempas ke atas bukit ketika ia cuba mendarat di Kathmandu yang mengorbankan kesemua 167 penumpang di dalamnya.

Malah, merujuk Yayasan Keselamatan (Nepal), sebanyak 42 nahas pesawat telah dilaporkan berlaku sejak tahun 1946 di Nepal.

Bagaimanapun, Laporan Keselamatan 2019 daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal mengatakan  ‘bentuk topografi’ dan keadaan cuaca yang tidak dapat dijangka adalah bahaya besar kepada penerbangan di negara itu.

Justeru, Kesatuan Eporah (EU) telah melarang syarikat penerbangan dari Nepal daripada terbang ke blok 27 negara sejak tahun 2013.

Sementara itu pada tahun 2017, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa juga mengatakan peningkatan sektor penerbangan di Nepal tetapi EU tetap menuntut pembaharuan pentadbirannya (penerbangan).

Sumber: The Independent

Florence Nuar