Siakap Keli
Mengenang Seniman Haji Mahadi
Gambar: Facebook Repair Gambar Lama

Mengenang Seniman Haji Mahadi, Dikenali Sebagai Pengarah Filem, Pelakon & Guru Agama

Mengenang Seniman Haji Mahadi, Dikenali Sebagai Pengarah Filem, Pelakon & Guru Agama

Umumnya, industri seni Malaysia merangkumi pelbagai aspek termasuk penulisan skrip, bersyair, bernyanyi, berlakon, pengarahan filem dan sebagainya.

Industri seni tanah air ini bukan sahaja sebagai platform ‘mencari makan’ atau ‘mencari populariti’ namun ia juga menyaksikan lahirnya seniman dan seniwati negara yang sangat ikonik.

Tidak dinafikan sumbangan mereka dalam industri ini memberi kesan yang mendalam bahkan dapat dirasai sehingga ke hari ini.

Antara nama yang tersemat dalam hati kalangan rakyat Malaysia adalah  arwah Tan Sri Datuk Amar Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (P. Ramlee). Tidak cuma itu, Seniman Mohd Mahadi Mohd Said (Haji Mahadi) juga turut dikenali ramai.

Biodata Haji Mahadi

Siapa sahaja tidak kenal peranannya dalam filem klasik Tiga Abdul. Memegang watak sebagai Abdul Wahab, figura Haji Mahmud pastinya cukup menggamit nostalgia buat kita semua.

Mohd Mahadi Mohd Said atau lebih dikenali sebagai Haji Mahadi dilahirkan pada tahun 1914. Beliau merupakan anak kelahiran Kampung Merbuk di Negeri Sembilan.

Bukan itu sahaja, ayahnya Syaikh Muhammad Said Jamaluddin Al-Linggi juga seorang yang dikenali ramai sebagai tokoh agamawan. Manakala abang sulungnya pula merupakan mantan mufti Negeri Sembilan.

Mengikuti jejak langkah yang sama dalam keluarga, anak kelapan daripada 15 adik beradik itu telah mendapat pendidikan agama di Kota Mekah sewaktu masih berusia 14 tahun sebelum dihantar ke Madrasah al-Falah selama dua tahun.

Tidak perlu disangkal lagi dengan latar belakang akademik, beliau mendapat gelaran haji dan memulakan kariernya dalam bidang seni dengan Malay Films Production atau MFP.

Karier Haji Mahadi

Dari Wartawan kepada Pengarah Filem

Pada 1939, Haji Mahadi memilih jalan yang sedikit berbeza daripada keluarganya apabila mula menceburi bidang pekerjaan dengan menyertai syarikat akhbar, Utusan Melayu di Singapura sebagai seorang wartawan.

Antara wartawan lain yang sempat menjadi rakan setugasnya termasuklah Pak Rahim Kajai dan Pak Sako sebelum dirinya menjadi wartawan sukan di Akhbar Warta Malaya.

Langkah beliau tak terhenti di situ apabila beliau menjadi seorang penterjemah skrip di Studio MFP yang bertempat di Jalan Ampas pada tahun 1948.

Tambahan lagi, beliau juga sempat diberikan peluang untuk berkecimpung dalam filem Pengorbanan. Setelah dua tahun, Haji Mahadi diangkat memegang jawatan pengurusan MPF sebagai pengarah filem.

Untuk pengetahuan, beliau merupakan pengarah filem Melayu pertama dan sekaligus mencipta sejarah dalam arena seni sebelum nama-nama besar seperti P.Ramlee, Omar Rojik, S. Kadarisman dan sebagainya.

Bagaimanapun, filem pertamanya, ‘Permata di Perlimbahan’ tidak berjaya mencuri tumpuan penonton pada ketika itu walaupun telah membariskan pelakon-pelakon ternama seperti Nordin Ahmad dan Maria Menado sekaligus menjadi filem terakhirnya sebagai pengarah.

Mengenang Seniman Haji Mahadi
Gambar: Facebook Repair Gambar Lama

Bergelar Pelakon

Kegagalan dalam bidang pengarahan filem itu sama sekali tidak mematahkan semangatnya, malah beliau kembali memilih kerjaya lakonan sebagai jalan seni yang seterusnya.

Hasilnya, Haji  Mahadi memperolehi perhargaan sehingga dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Melayu di Singapura menerusi filem-filem terbitan MFP pada tahun 1956.

Beliau terus mengukir nama selepas terlibat dalam filem komedi arahan P.Ramlee, Tiga Abdul pada tahun 1964 bahkan nama tersebut kekal terpahat hingga ke hari ini.

Salah Siapa, Iman, Ribut, Pusaka Pontianak, Doktor, Iman, Budi dan Dosa, Pawang, Kaca dan Permata, Singapura Dilanggar Todak, Hang Tuah antara filem yang pernah dilakonkannya.

Pada penghujung karier lakonan, Haji Mahadi sempat membintangi beberapa filem seperti Raja Bersiong, Permintaan Terakhir dan Jebak Maut.

Selepas itu, Haji Mahadi beralih angin dan mula bekerja sebagai Pegawai Perhubungan Awam dengan Syarikat Haji Ibrahim Bersaudara selepas mencipta nama dalam bidang seni. Syarikat berkenaan juga merupakan penaung kepada Syarikat Indra Filem.

Menjadi Pendakwah 

Lahir dalam sebuah keluarga yang sangat mementingkan ilmu agama, tidak hairan sekiranya Haji Mahadi turut menjalankan kegiatan berdakwah walaupun bergelar seorang seniman.

Beliau memainkan peranan dan sumbangan penting dalam aspek kebajikan dan kerohanian dalam kalangan penduduk sewaktu tinggal di ‘perkampungan artis’ MFP di Jalan Boon Teck, Singapura.

Menurut Allahyarhamah Seniwati Normadiah, beliau sangat dipandang tinggi oleh para artis lain kerana mempunyai sifat seperti seorang ayah kepada semua artis Melayu serta kasihnya dalam aspek kehidupan dari segi agama mahupun kebajikan.

Sementara itu, Seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud juga berkata Haji Mahadi sering menasihati mereka dengan kata-kata “jangan sesekali melupakan tanggungjawab untuk akhirat meskipun sibuk dengan kerjaya sebagai seniman”.

Tambahan lagi, madrasah yang terdapat di Jalan Boon Teck juga dijadikan sebagai tempat berdakwah khususnya dalam kalangan artis.

Pemergian Permata Seni

Pada tanggal 20 Februari 1983, Haji Mahadi telah meninggal dunia pada usia 69 tahun akibat sakit jantung. Beliau telah meninggalkan seorang balu, Rosminah Marzuki dan tujuh orang anak.

Pemergian seorang permata seni itu amat memberikan kesan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana jasa dan sumbangan masih dikenang hingga ke hari ini.

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Sumber: Akif Histri Via Seniman & Seniwati Malaysia Ku Dulu2, Harith Faruqi Sidek via  Mengenali Pelakon Lama

BACA: “Nampak Pokok Buluh Macam Pintu Gerbang..,” Kisah 8 Orang Jadi Tahanan Di Bukit Luruh, Terpaksa Bergadai Nyawa Untuk Hidup

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.