Siakap Keli
22 Juta Penduduk Berdepan Kebuluran Akibat Kemarau Terburuk Di Afrika
Gambar: EDUARDO SOTERAS / AFP

Kemarau Terburuk Landa Benua Afrika, 22 Juta Penduduk Berdepan Masalah Kebuluran

Kemarau Terburuk Landa Benua Afrika, 22 Juta Penduduk Berdepan Masalah Kebuluran

MOGADISHU — Sekitar 22 juta penduduk dari selatan Ethiopia ke utara Somalia berisiko kebuluran akibat kemarau terburuk yang melanda benua Afrika itu dalam tempoh empat dekad.

Memetik laporan Zawya, aktiviti mengembala dan pertanian sara diri yang menjadi sumber pencarian penduduk terjejas berikutan cuaca buruk itu sejak akhir 2020.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, seramai 12 juta penduduk di Ethopia, 5.6 juta di Somalia dan 4.3 juta di Kenya kini berdepan masalah kelaparan.

Menurut laporan Program Makanan Sedunia PBB pada 23 Januari lalu, jumlah tersebut meningkat sebanyak dua kali ganda daripada 13 juta orang yang dilaporkan pada awal tahun 2020.

“Susulan itu, sejumlah 1.7 juta orang diseluruh rantau itu dilaporkan telah keluar dari rumah mereka ekoran kekurangan air dan kawasan berumput,” kata badan tersebut.

Tambahan lagi, tanaman yang diusahakan turut rosak akibat serangan belalang sejak 2019 hingga 2021 dan haiwan ternakan turut mengalami nasib yang serupa.

Agensi Kemanusiaan PBB OCHA menganggarkan sebanyak 9.5 juta lembu telah mati pada bulan November lalu.

Agensi itu turut melaungkan amaran keadaan mungkin bertambah buruk dengan hujan diramal turun menjelang bulan Mac hingga Mei kelak.

Peperangan di Ukraine turut memburukkan lagi keadaan kerana berlaku gangguan terhadap bantuan bekalan makanan dan bahan api serta bantuan kewangan di rantau berkenaan.

BACA JUGA: “Sumber Makanan Yang Berkhasiat,” Saintis Dakwa Burger Ulat ‘Kunci’ Masalah Kebuluran Dunia

Dalam pada itu, kemarau ini turut meletakkan kalangan kanak-kanak dalam risiko yang berbahaya.

Menurut agensi kanak-kanak (UNICEF), hampir dua juta kanak-kanak di seluruh Ethopia , Kenya dan Somalia memerlukan rawatan segera berikutan kekurangan zat makanan yang teruk hingga boleh membawa kepada kematian.

“September lalu telah merekodkan seramai 730 kanak-kanak meninggal dunia antara bulan Januari hingga Julai di pusat makanan di Somalia. Bagaimanapun jumlah tersebut berkemungkinan jauh lebih tinggi.

“Kekurangan air, susu, makanan dan hidup dalam keadaan tidak bermaya menyebabkan golongan itu mudah terdedah kepada penyakit seperti demam campak, taun, tumbesaran yang terbantut.

“Kira-kira 2.7 juta kanak-kanak turut dilaporkan berhenti daripada bersekolah,” maklum UNICEF.

Sementara itu, Pengarah Ethiopia menerusi badan amal British Save the Children, Xavier Joubert juga berkata bahawa krisis kebuluran ini seperti tiada penghujungnya.

“Keperluan asas semakin meningkat dalam skala yang sangat besar dan lebih teruk lagi dana yang lebih banyak juga diperlukan dengan segera.

“Sehingga kini, hanya 55.5 peratus daripada RM 23 bilion ($5.9 bilion) berjaya dikumpulkan oleh PBB untuk menangani krisis tersebut.” katanya.

Untuk pengetahuan, misi kemanusian telah dilancarkan di Somalia sejak tahun 2017 bagi membendung masalah kebuluran.

Sumber: AFP via Zawya

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?