Siakap Keli

Misi MITI Ke Singapura Raih Komitmen Pelaburan Bernilai RM13 Bilion

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), telah berjaya meraih komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM13 bilion dari tiga pelabur melalui misi pelaburannya ke Republik Singapura. Misi tersebut, yang diketuai oleh Menteri MITI, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, telah dianjurkan sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Singapura.

Tiga syarikat – Sea Ltd., Kumpulan Yondr dan INSEACT – secara kolektif telah memberi komitmen untuk melabur RM13 bilion di Malaysia. Pelaburan tersebut dijadualkan akan beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang. Sea Ltd. – syarikat induk Shopee, platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan – komited untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan. Syarikat itu berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan awan, pengehosan dan pemprosesan data, serta gudang logistik e-dagang baharu di negara ini. Satu lagi pelabur adalah Kumpulan Yondr, peneraju global dalam pembangunan dan pengendalian pusat data. Kumpulan Yondr yang menyalurkan lebih daripada 500MW kepada pelanggan skala hyper terkemuka dunia, telah memasuki pasaran Malaysia dengan memperoleh tanah seluas 75 ekar di Sedenak, Johor.

Ianya sedang membangunkan kampus pusat data skala hyper dengan kapasiti IT sebanyak 300MW. Pelaksanaan projek Yondr di Johor dijangka akan menghasilkan sebuah kampus pusat data skala hyper yang terbesar di Asia Tenggara dan bakal memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem digital Malaysia. Syarikat ketiga, INSEACT, ialah syarikat protein alternatif yang berpangkalan di Singapura, dan pengeluar protein serangga untuk makanan akuakultur. Ia berhasrat untuk menubuhkan fasiliti pengeluaran di Johor, fasiliti pertamanya di Asia Tenggara. Pendekatan unik dalam pengeluaran protein alternatif ini berpotensi untuk menampung permintaan Asia yang semakin meningkat bagi sumber makanan yang mampan.

Tengku Zafrul berkata, “Komitmen pelaburan bernilai keseluruhan RM13 bilion ini mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan. Ia juga mencerminkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang telah lama terjalin dan saling menguntungkan di antara Malaysia dan Singapura. MITI berhasrat untuk mengembangkan dan mengukuhkan hubungan istimewa ini, terutamanya dalam membina daya tahan rantaian bekalan untuk industri masing-masing, berasaskan kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi lestari.

“Kami berazam untuk membuktikan kepada pelabur bahawa Malaysia adalah pro- perdagangan, pro-perniagaan dan pro-pelaburan. MITI dan agensinya seperti MIDA akan terus berusaha untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, strategik dan mampan yang bukan sahaja akan meningkatkan KDNK kita dan meningkatkan pembangunan ekonomi digital tempatan tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu untuk rakyat kita,” sambung Tengku Zafrul.

Misi pelaburan yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), merupakan satu penanda aras yang penting ke arah merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab inovasi global dengan ekosistem pelaburan yang berdaya tahan dan mampan.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa