Pelajar Universiti Ditemui Maut Lepas Ikuti Ritual Ikrar “Fraternity”
Seorang pelajar ditemui mati dalam bilik asramanya di sebuah universiti di Amerika Syarikat dalam kejadian yang berlaku baru-baru ini, lapor Metro UK.
Susulan itu, rakan mangsa telah melancarkan sebuah petisyen yang meminta pihak polis menyiasat sebuah rumah perhimpunan kerana mangsa didakwa telah minum di sana sebelum kematiannya.
“Kematiannya secara langsung selepas mengikuti proses ikrar yang panjang dan kejam dalam sebuah perhimpunan yang memaksa mangsa dan ramai lagi yang lain melakukan banyak perkara lain yang jelas tidak boleh dipaksa oleh sesiapa pun.
“Kami menuntut perhimpunan tersebut disiasat dan ditutup, malah presiden, ketua ikrar dan orang yang terlibat dalam perhimpunan tersebut disiasat kerana penglibatan mereka yang menyebabkan kematian mangsa,” jelas rakannya.
Tambah rakannya, mangsa benar-benar seorang yang mengagumkan dan mampu memberikan kesan yang luar biasa kepada setiap orang yang ada dalam hidupnya justeru, mangsa berhak mendapat keadilan.
Tidak disangka-sangka, petisyen tersebut dikatakan telah mencapai 9,700 tandatangan dan persetujuan daripada orang ramai (pelajar universiti).

Bagaimanapun, pihak polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai punca kematian pelajar tersebut.
“Terdapat banyak andaian mengenai keadaan sekeliling kejadian tersebut dan punca sebenar kematian pelajar itu. Saya akan mengingatkan orang ramai terhadap sebarang spekulasi yang dibuat kerana kes ini masih dalam siasatan. Fakta dalam kes ini juga masih dikumpul.
“Ia mungkin memerlukan tempoh masa beberapa minggu sebelum pihak polis menentukan punca dan cara kematian mangsa. Kami mahu memastikan siasatan dapat diteruskan tanpa halangan,” tambah polis tersebut.
Sumber: Metro UK