Siakap Keli
Tayang Duit Atas Pentas
Gambar: SCMP

Tular Syarikat China Tayang Duit Atas Pentas, Bagi Pekerja Bawa Balik Berjuta Duit Bonus

Tular Syarikat China Tayang Duit Atas Pentas, Bagi Pekerja Bawa Balik Berjuta Duit Bonus

Satu rakaman video memaparkan pekerja sebuah firma di China sedang menyusun segunung wang tunai bernilai 9 juta dolar (RM38.3 juta) di atas pentas sebelum memberikan bonus akhir tahun kepada pekerja-pekerjanya menjadi tular, lapor Wion News.

Menurut laporan media tempatan, majlis tahunan syarikat itu dianjurkan oleh sebuah syarikat kren, Henan Mine yang terletak di wilayah Henan tengah.

Rakaman video yang tular pada 17 Januari itu menunjukkan wang tunai tersebut disusun dalam bentuk piramid. Pekerja syarikat dapat dilihat berjalan keluar dengan membawa wang tunai yang banyak.

Seorang pengurus daripada Jabatan Perhubungan Awam syarikat berkenaan mendedahkan bahawa tiga pengurus jualan yang berprestasi terbaik telah menerima lima juta yuan (RM3.13 juta) setiap seorang, manakala 30 pekerja lain menerima sekurang-kurangnya sejuta yuan (RM628,689), lapor Jiemian News.

“Kami mengadakan mesyuarat akhir tahun pada malam 17 Januari dan memberikan 61 juta yuan kepada 40 pengurus jualan,” kata pengurus yang tidak didedahkan namanya.

Memetik Wion News, syarikat tersebut juga menganjurkan pertandingan mengira wang tunai dalam tempoh masa yang ditetapkan di mana pekerja akan memenangi 100 yuan (RM62), sebanyak 12 juta yuan (RM7.5 juta) telah dibelanjakan dalam pertandingan ini.

Menerusi beberapa klip video yang tular di media sosial, wang tunai bernilai 100,000 yuan berkenaan diikat seperti batu bata.

Gambar: SCMP

Pemberian bonus akhir tahun tersebut telah menjadi tular di media sosial China sehingga beberapa netizen meluahkan rasa iri hati, malah ada juga yang menggelarkan sebagai mahu mencari publisiti.

“Saya tak faham, mereka bersusah payah untuk mendapatkan semua wang tunai daripada bank dan mengiranya untuk diberikan kepada pekerja, kemudian penerima perlu membawanya semula ke bank untuk mendepositkannya. Saya tidak suka budaya korporat seperti itu,” kata netizen di Weibo.

Syarikat Henan Mine diasaskan pada tahun 2002, mempunyai lebih 5,100 pekerja di 380 cawangan di China dan di seluruh dunia, menurut laman web rasmi mereka.

Menurut laman web syarikat itu, mereka merekodkan hasil jualan sebanyak 9.16 bilion yuan (RM5.76 bilion) pada 2022, meningkat sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, tiada pemberhentian daripada syarikat itu sejak tiga tahun lalu walaupun kerajaan China mengenakan sekatan ketat COVID-19.

Purata gaji kakitangan syarikat berkenaan dikatakan meningkat sebanyak 30 peratus setiap tahun, menurut laman webnya.

Sumber: Wion News

Noorliyana Ishak