Siakap Keli
Kredit: PayPal

Giliran PayPal Umum Buang 2000 Pekerja, Masalah Ekonomi Global Tahun Ini Jadi Puncanya

Giliran PayPal Umum Buang 2000 Pekerja, Masalah Ekonomi Global Tahun Ini Jadi Puncanya

Sebuah syarikat yang terlibat dalam sektor perkhidmatan kewangan, PayPal dilapor mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan 2000 pekerja atau kira-kira 7 peratus daripada tenaga kerjanya, sebagai langkah mengurangkan kos operasi syarikat.

Dalam pengumuman yang dibuat oleh Presiden dan CEO PayPal, Daniel Schulman pada Selasa, beliau berkata keputusan itu terpaksa diambil kerana syarikat berdepan dengan persekitaran makro-ekonomi yang mencabar dan masalah ekonomi global yang semakin lemah.

Namun begitu, pengumuman berkenaan tidak menyebut secara terperinci berkenaan bahagian operasi mana yang terlibat dengan keputusan tersebut. Pekerja-pekerja yang akan diberhentikan akan menerima notis pemberhentian dalam beberapa minggu yang akan datang dengan beberapa cabang operasi syarikat tersebut akan mengalami pengurangan tenaga kerja secara ketara.

Walaupun syarikat telah menunjukkan kemajuan dengan sumber difokuskan pada teras operasi dan penstrukturan semula kos, namun syarikat masih perlu mengambil beberapa pendekatan lain, kata pengumuman itu lagi.

Bagi pekerja yang terjejas akibat pemberhentian, Paypal memberi jaminan bahawa syarikat akan menyalurkan semua hak-hak yang boleh dinikmati mereka seperti gaji pemberhentian dan faedah-faedah lain serta turut akan menyediakan bantuan sokongan jika diperlukan.

Selain PayPal yang akan membuang 2000 pekerjanya, terdapat beberapa syarikat teknologi terkenal yang lain turut mengumumkan akan mengambil langkah-langkah yang sama iaitu Google yang akan memberhentikan 12,000 pekerja, Microsoft (10,000 pekerja), Salesforce (7,000 pekerja), IBM (3,900 pekerja) dan SAP (3,900 pekerja).

BACA: Meremang Tengok, Ular Hitam Berbisa Ditemui Melingkar Dalam Lubang Golf

Sumber: BBC, CNBC

Shafikah