Siakap Keli
Gambar: Unsplash

Tak Bagi Kucing Peliharaan Makan Hingga Sebabkan Kematian, Mahkamah Denda Lelaki RM32,470

Tak Bagi Kucing Peliharaan Makan Hingga Sebabkan Kematian, Mahkamah Denda Lelaki RM32,470

Seorang lelaki didenda 10,000 dolar Singapura (RM32,470) oleh mahkamah pada Isnin, 30 Januari lalu kerana mengabaikan makanan dan minuman terhadap haiwan peliharaannya sehingga menyebabkan kematian, lapor Channel New Asia.

Menurut rekod mahkamah, tertuduh tidak dapat membayar jumlah dendanya dan akan menjalani hukuman penjara 20 hari.

Tertuduh yang berusia 25 tahun itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Akta Kekejaman Terhadap Haiwan dan Burung yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan kepada seekor kucing bernama Grey.

Hal ini kerana tertuduh tidak memberikan sebarang makanan dan minuman kepada kucing peliharaannya selama lebih dari sebulan antara 25 Disember 2020 dan 2 Februari 2021.

Menurut dokumen mahkamah, tertuduh tinggal di sebuah flat bersama isterinya di Sembawang Crescent pada akhir tahun 2018.

Pada bulan Februari 2019, tertuduh dikatakan telah mengambil kucing itu daripada pemilik asalnya, lapor Channel New Asia.

Dari Oktober 2020, tertuduh serta keluarganya telah berpindah dari Flat Sembawang dan tinggal sama ada di rumah mertuanya di Woodlands atau ibu saudaranya di Boon Lay serta bekerja di Jurong Port.

Bagaimanapun, kucing tersebut ditinggalkan di Flat Sembawang dan tertuduh akan kembali sekali-sekala untuk memberi makan kepadanya sehingga bulan Disember 2020, lapor Channel New Asia.

Antara 25 Disember 2020 dan 2 Februari 202, jiran tertuduh telah menghantar mesej kepadanya dengan mengatakan ada bau busuk yang datang dari flat dan bertanyakan tentang keadaan kucing itu kerana sudah dua bulan tidak melihat tertuduh pulang ke rumah itu.

Jiran itu kemudiannya menghantar beberapa mesej kepada tertuduh dengan mengatakan bahawa bau busuk semakin kuat dan mendesaknya kembali segera untuk memeriksa kucing berkenaan tetapi dia tidak kembali.

Lembaga Taman Negara (NPARKS) menerima maklum balas daripada orang ramai tentang kematian kucing di Flat Sembawang pada 2 Februari 2021.

Susulan daripada itu, pegawai NPARKS pergi ke flat tersebut pada hari yang sama dan menemui bangkai kucing di dalamnya.

Hasil bedah siasat yang dilakukan oleh veterinar NPARKS mendapati bahawa bangkai itu menunjukkan keadaan mumifikasi dan autolisis yang signifikan.

Memetik Channel New Asia, ini merujuk kepada ‘pencernaan diri’, di mana sel-sel mati mencerna diri mereka sendiri.

Dalam pada itu, doktor veterinar NPARKS berkata, masa kematian tidak dapat dipastikan, namun ia mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk bangkai itu mencapai keadaan autolisis dan mumia.

Tertuduh pada asalnya didakwa pada bulan Ogos tahun lepas dengan tuduhan tidak memberikan kucing peliharaannya makan sehingga mati, tetapi pertuduhan itu ditangguh kepada yang bulan Oktober.

Dia telah meminta beberapa penangguhan untuk mengumpul dana bagi membayar denda yang diminta oleh pihak pendakwaan dengan mengatakan isterinya baru saja melahirkan serta telah berjanji untuk mengambil anak perempuannya pada Tahun Baru Cina.

Pada 18 Januari, tertuduh berkata dia tidak mempunyai dana dan meminta penangguhan dari pihak mahkamah.

Bagaimanapun, hakim berkata bahawa kali terakhir tertuduh mendakwa mempunyai seribu dolar Singapura (RM3,246) dan kini pula mendakwa tidak mempunyai wang sama sekali, sebelum memberinya penangguhan terakhir. Tertuduh telah dijatuhkan hukum pada hari Isnin.

Hukuman yang menyebabkan kesakitan dan penderitaan kepada haiwan di bawah Akta Kekejaman Terhadap Haiwan dan Burung adalah denda sehingga 15,000 (RM48,635), penjara sehingga 18 bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Channel New Asia

Noorliyana Ishak