Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

“Kesihatan Saya Berada Pada Tahap Yang Baik” – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tahap kesihatannya kini berada dalam keadaan baik selepas menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN).
Dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, Anwar memaklumkan mengenai kesihatannya kepada umum sebentar tadi.
“Pagi tadi jalani pemeriksaan kesihatan di IJN.
“Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf. Alhamdulillah,” katanya.
Sebelum ini, Anwar difahamkan tidak dapat hadir ke majlis sambutan perayaan Thaipusam yang berlangsung di sebuah kuil di Batu Caves, Selangor hari ini kerana dilapor tidak sihat.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar menerusi kenyataannya kepada pemberita pagi tadi.
“Perdana Menteri sepatutnya hadir ke sambutan Thaipusam (di Batu Caves) hari ini, namun beliau menghubungi saya pagi tadi memaklumkan beliau tidak sihat dan terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya, memetik Awani.
Difahamkan, satu perjumpaan bersama semua jawatankuasa kuil-kuil akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyampaikan amanatnya, menurut Sivakumar.
Sementara itu, beliau sempat mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut dan masyarakat beragama Hindu di negara ini.
Memetik Bernama, Anwar berkata perayaan serta budaya yang pelbagai di Malaysia adalah hujah ampuh untuk masyarakat Malaysia saling kenal dan membina persefahaman tatanan negara bangsa yang majmuk.
Dalam pada itu, kemeriahan sambutan Thaipusam di Batu Caves diraikan dengan kegembiraan susulan disertai oleh ratusan ribu penganut Hindu.
“Mari bersama kita mengukuh perpaduan dan kerukunan demi pertiwi tercinta,” katanya menerusi catatan di Facebooknya hari ini.
Masyarakat Hindu menyambut perayaan Thaipusam pada hari ini dengan membanjiri kuil-kuil utama di ibu negara dan beberapa bandar raya di seluruh negara.
Thaipusam ialah perayaan yang disambut pada bulan ‘Thai’, iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, bagi memperingati peristiwa Dewi Parvati memberikan lembing suci kepada anak lelakinya Dewa Murugan bagi menghapuskan kuasa jahat, Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.
Sumber: Anwar Ibrahim via Facebook