Siakap Keli
mcmc pdrm siasat gambar fitnah perdana menteri
Gambar: BERNAMA

MCMC, PDRM Diminta Siasat Gambar Fitnah Perdana Menteri

MCMC, PDRM Diminta Siasat Gambar Fitnah Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta untuk menyiasat satu hantaran di Facebook yang memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menularkan sekeping gambar lama.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pemilik akaun Facebook Sam My itu didapati berniat jahat dan sengaja menimbulkan prasangka buruk terhadap Perdana Menteri, dengan menyiarkan gambar berkenaan sambil mengaitkannya bersama saranan kerajaan supaya rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat.

“Pemfitnah ini telah menggunakan gambar lama (individu di kanan gambar Abd Rahman Yusof, kenalan saya telah lama meninggal dunia pada 8 Jun 2021) dalam fitnah ini.

“Saya telah mohon MCMC dan PDRM siasat segera,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Gambar yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Sam MY semalam memaparkan gambar Anwar sedang makan bersama beberapa individu mendakwa rakyat disuruh makan menu Rahmah sedangkan Perdana Menteri menikmati hidangan daging unta.

Anwar tidak sihat

Terdahulu, Anwar Ibrahim dilaporkan berada dalam tidak sihat dan tidak dapat menghadiri sambutan Thaipusam di Batu Caves.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia, V.Sivakumar menerusi kenyataannya kepada pemberita pagi tadi.

“Perdana Menteri sepatutnya hadir ke sambutan Thaipusam (di Batu Caves) hari ini, namun beliau menghubungi saya pagi tadi memaklumkan beliau tidak sihat dan terpaksa pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya, memetik Awani.

Namun beliau kemudian mengesahkan tahap kesihatannya kini berada dalam keadaan baik selepas menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Kesihatan berada pada tahap yang baik”

Dalam satu kenyataan ringkas di Facebook, Anwar memaklumkan mengenai kesihatannya kepada umum.

“Seusai pemeriksaan dan doktor mengesahkan kesihatan saya berada pada tahap yang baik, saya langsung menyambung tugasan bersama staf. Alhamdulillah,” katanya.

Beliau juga sempat mengucapkan selamat menyambut perayaan Thaipusam kepada seluruh penganut dan masyarakat beragama Hindu di negara ini.

Kemeriahan sambutan Thaipusam di Batu Caves diraikan dengan kegembiraan susulan disertai oleh ratusan ribu penganut Hindu.

Sumber: BERNAMA

BACA: Anwar Saman MB Kedah Berhubung Ucapan Berbaur Fitnah

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana