Dipaksa Masuk “Office” Walau Tengah “MC”, Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Ketika Siapkan Kerja
Sebuah stesen televisyen di Thailand berjanji bahawa syarikatnya akan membayar pampasan kepada keluarga seorang pekerja berusia 44 tahun yang dilaporkan meninggal dunia ketika menyiapkan kerjanya, lapor Coconuts.
Stesen televisyen tersebut pada hari Isnin mengumumkan bahawa pihaknya akan menghormati kematian pekerja tersebut dengan membayar keluarganya 24 kali ganda gaji bulanan dan pembayaran insurans.
“Bagi pihak syarikat, kami benar-benar memohon maaf atas kehilangan yang tidak diduga ini. Syarikat akan melakukan yang terbaik untuk membantu keluarganya,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Sumber Manusia syarikat televisyen tersebut.
Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang
Lelaki itu merupakan seorang pekerja kanan di stesen televisyen berkenaan. Dia ditemui mati di mejanya pada hari Jumaat lalu akibat serangan jantung.
Pengebumian mendiang telah diadakan di Wat Mahawong Paknam di wilayah Samut Prakan. Mayatnya akan dibakar pada jam 5 petang esok.
Akaun media sosial miliknya pertama kali dikongsi di laman Facebook, yang turut mengikuti beberapa media Thailand.
Ia menjelaskan bahawa lelaki itu telah bekerja lebih masa dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Malah dia juga bekerja selama tujuh hari seminggu tanpa cuti dan mula jatuh sakit.
“Walaupun dia mengambil cuti sakit selama dua hari, dia telah dipanggil semula ke stesen TV untuk bekerja. Ini stesen TV atau neraka?” tulis laman Facebook itu berserta gambar meja lelaki tersebut di dalam sebuah hantaran mereka.
Insiden itu telah mencetuskan kemarahan di atas talian, di mana ramai yang mengkritik pengurusan setesen televisyen terbabit kerana memaksa pekerja mereka untuk bekerja lebih masa.
Seorang wakil Persatuan Wartawan Thailand telah menggesa agensi berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh berkaitan kejadian tersebut.
Beberapa organisasi yang dinyatakan ialah Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan, serta Kementerian Buruh.
Undang-undang buruh Thai menetapkan bahawa jumlah maksimum waktu bekerja ialah lapan jam sehari dan tidak melebihi 48 jam seminggu.
Majikan dan pekerja boleh diberi kelonggaran untuk mengatur waktu bekerja yang lebih panjang untuk beberapa jenis kerja. Namun jumlah bilangan dalam apa keadaan sekalipun tidak boleh melebihi 48 jam seminggu.
“Industri media mempunyai budaya kerja yang berisiko dan melanggar undang-undang buruh, terutamanya media dalam talian yang sangat kompetitif,” kata naib presiden persatuan Teeranai Charuvastra dalam satu kenyataan.
“Ini merupakan masalah yang sudah berlarutan di kalangan mereka yang bekerja dalam industri media. Oleh itu, isu ini wajar diberi perhatian dan diselesaikan dengan cepat,” katanya lagi.
Sumber: Coconuts Bangkok