Siakap Keli
15 juta orang diancam banjir
Gambar: FABRICE COFFRINI/AFP

15 Juta Orang Dijangka Bakal Diancam Banjir Dari Tasik Glasier

Aktiviti pencairan ais glasier semakin meningkat akibat perubahan iklim, 15 juta orang dijangka diancam banjir dari Tasik Glasier

PARIS — Sekurang-kurangnya 15 juta orang di seluruh dunia diancam bencana banjir sekiranya pencairan ais glasier terus berlaku dan memenuhi tasik glasier, lapor AFP.

Menurut penyelidik, empat negara berpotensi dilanda banjir glasier itu.

Dalam kajian berhubung lokasi paling berisiko, China dan Peru juga terdedah kepada risiko banjir akibat pencairan ais itu.

Sementara itu, lebih sembilan juta orang yang tinggal di Pergunungan Tinggi Asia juga turut berpotensi untuk berdepan banjir itu.

Jumlah itu termasuk lima juta penduduk di utara India dan Pakistan, maklum Nature Communications.

Berdasarkan data satelit 2020, jumlah tasik yang terbentuk daripada glasier di seluruh dunia telah melonjak sebanyak 50 peratus dalam tempoh 3o tahun akibat pemanasan global.

Tambahan lagi, purata suhu permukaan bumi telah meningkat hampir 1.2 darjah Celsius sejak zaman pra-industri. Keadaan ini semakin meruncing apabila kawasan pergunungan tinggi di seluruh dunia semakin memanas pada tahap dua kali ganda.

BACA JUGA: Glasier Di Switzerland Mencair Berkali Ganda Cepat Dari Sebelumnya

Umumnya, tasik yang terbentuk daripada glasier tidak stabil. Hal ini kerana ia hanya dihalang oleh ais atau dinding yang terdiri daripada batu atau sepihan.

Sekiranya air yang terkumpul di dalam glasier pecah, ia akan menyebabkan banjir besar berlaku di hilir.

banjir glasier
Gambar: Julia Han JANICKI / AFP

Ketua pengarang kajian dan pelajar kedoktoran di Universiti Newcastle di England, Caroline Taylor berkata banjir seperti itu telah mengorbankan ribuan orang.

Bukan itu sahaja, ia juga membawa kepada kemusnahan komuniti, infrastruktur dan ternakan sejak abad lalu.

“Ia bukan tentang luas kawasan yang besar atau kemajuan tasik yang paling berisiko.

“Namun, bilangan orang, jarak mereka daripada lokasi tasik glasier yang terbentuk dan kebolehan untuk mengenalpasti  bahaya banjir itu,” katanya.

Untuk pengetahuan, sekitar 90 juta orang di 30 negara tinggal di 1,089 lembangan tasik glasier. 15 juta daripadanya tinggal pada jarak satu kilometer dari laluan berisiko tercetus banjir.

Dijangka, satu perempat daripada jumlah glasier di bumi akan mencair menjelang akhir abad ini. Walaupun pemanasan global boleh dibendung pada tahap 1.5 darjah Celsius.

Menurut kajian terdahulu, satu pertiga daripada kenaikan paras air laut global didorong oleh pencairan glasier bagi tempoh abad yang lalu.

Sumber: AFP

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?