Siakap Keli
korban gempa bumi turki syria
Gambar: The Times

Angka Korban Gempa Bumi Di Turki Dan Syria Cecah 11,000, Dijangka Akan Terus Meningkat

Angka Korban Gempa Bumi Di Turki Dan Syria Cecah 11,000, Dijangka Akan Terus Meningkat

Lebih 11,000 orang telah disahkan terkorban di Turki dan Syria akibat daripada gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang menimpa pada Isnin lalu, lapor Forbes.

Kejadian gempa itu dilaporkan antara yang paling buruk pernah berlaku dalam lebih sedekad. Usaha menyelamat kini masih diteruskan oleh pelbagai agensi dalam dan luar negara Turkiye dan Syria.

Sekurang-kurangnya 8,574 orang telah meninggal dunia di Turki, menurut media kerajaan yang dipetik oleh Washington Post.

Manakala sekurang-kurangnya 1,262 orang pula telah terkorban di bahagian Syria yang dikuasai kerajaan dan lebih 1,400 lagi di wilayah barat laut yang dikuasai pemberontak.

Angka korban itu telah dikeluarkan oleh pasukan yang diselaraskan oleh pihak berkuasa bencana Turki pada hari Selasa, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jumlah itu dilaporkan meningkat daripada angka kematian sebanyak 6,200 yang dicatatkan pada Selasa lalu.

BACA: Tular Anjing Di Turkiye Dirakam Menyalak Pelik, Seakan Beri Amaran Gempa Bumi Bakal Melanda

Selain itu, lebih 54,000 orang dilaporkan mengalami kecederaan dalam gempa itu dengan 49,000 orang daripadanya adalah mangsa dari Turki sahaja.

Beberapa negara telah menggerakkan pasukan penyelamat dan bantuan mereka ke negara teluk yang mengalami gempa tersebut.

Antara negara yang sudah mula menghulurkan bantuan ialah Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China

Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye melaporkan bahawa lebih daripada 100,000 orang kini telah menghulurkan bantuan mereka di negara tersebut.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyatakan bahawa kerajaan berjanji akan memberikan bantuan segera kepada mereka yang terjejas dan kehilangan tempat tinggal untuk mendapatkan tempat perlindungan semula.

Terdahulu, Turki dan Syria telah dilanda gempa berukuran 7.8 magnitud pada pukul 4 pagi waktu tempatan, Isnin lalu. Beberapa siri gegaran susulan berukuran 7.5 magnitud turut dicatatkan beberapa jam kemudiannya.

Kejadian gempa bumi yang berpusat di selatan Turki antara yang terburuk pernah berlaku di dunia sejak 2011 yang lalu. Kejadian gempa bumi dan tsunami pada 2011 yang berlaku di Jepun mengorbankan hampir 20,000 nyawa.

Menurut PBB, hampir 6,000 bangunan telah runtuh di Turki dan menyebabkan ramai penduduk tidur di dalam kereta, khemah dan di luar dalam kesejukan.

Sumber: Forbes

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka