Siakap Keli

‘Tokey’ Dobi Layan Diri Boleh Dipenjara & Didenda RM100,000 Kalau Tak Buat 5 Perkara Ni

Boleh dikatakan kebanyakan daripada kita hari ini mengambil remeh keselamatan penggunaan gas walaupun tahu, sifat gas ini tidak ubah seperti bom jangka yang boleh meledak bila-bila masa sahaja sehingga menyebabkan kebakaran dahsyat yang boleh mengakibatkan kecederaan atau meragut nyawa. 

Penggunaan gas ini bukan hanya  di rumah, malahan juga di premis dobi layan diri. Laporan Sinar Harian pada 2019, menyatakan kira-kira 2,000 dobi layan diri di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah mungkin terdedah dengan bahaya letupan ataupun kebakaran sekiranya tidak mempunyai kelulusan dan lesen pengoperasian gas daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).  

Berdasarkan laporan ST, sebanyak 1,778 premis dobi yang berlesen dengan ST (sehingga 31 Disember 2022) yang menggunakan gas berpaip. Ini melibatkan negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah terutamanya di kawasan yang padat penduduk seperti di bandar-bandar besar (Kuala Lumpur, Shah Alam, Petaling Jaya, Johor Bahru, Penang dan lain-lain) . Kebanyakannya adalah dobi layan diri.

Dapat kita lihat kebelakangan ini, dobi layan diri ‘membiak’ bagai cendawan tumbuh selepas hujan, namun jika hal keselamatan dipandang ringan, nyawa  pengguna diibaratkan seperti telur dihujung tanduk. 

Menurut statistik, secara keseluruhannya, sebanyak 20 kes kemalangan gas berpaip dilaporkan sejak 2008 sehingga 2022 yang melibatkan 7 mangsa termasuk 5 maut. Daripada jumlah kes ini, 2 kemalangan melibatkan premis dobi yang telah meragut 2 nyawa dan seorang cedera parah di premis dobi di Jinjang dan Klang pada tahun 2018.

Gambar Hiasan

Antara Punca-Punca Kemalangan Gas 

(Secara Keseluruhan 2008-2022)

  • Kerja-kerja pihak ketiga berhampiran paip gas (6 kes),
  • Prosedur kerja tidak sempurna (6 kes),
  • Kecuaian kontraktor gas (4 kes),
  • Penyenggaraan tidak sempurna (3 kes),
  • Lain-lain punca (1 kes)

Kenapa Gas ini Merbahaya?

Letupan atau kebakaran boleh berlaku sekiranya terdapat kebocoran gas, di mana kebocoran gas yang berpanjangan  apabila sampai  ke  tahap  isipadu gas yang  mencukupi untuk menyebabkan letupan, maka pencucuhan kecil atau percikan kecil api boleh menyebabkan berlakunya letupan. 

Jenis Gas dan Fungsi ST dalam Mengawal Selia Sistem Gas Berpaip  

Terdapat dua (2) sistem untuk penggunaan gas jenis Liquefied Petroleum Gas (LPG) atau Natural Gas (NG) di mana: 

  • Sistem Gas Berpaip, bagi gas LPG, ianya mempunyai storan gas berpusat (retikulasi-LPG) sama ada dalam bentuk sistem tangki pukal atau pun silinder manakala bagi NG ianya dibekalkan dari paip gas utama melalui paip pengagihan sehingga ke perkakas gas seperti dapur memasak, mesin pengering, pemanas air dan sebagainya. 

Fungsi ST adalah mengawalselia sistem ini terutama di sektor komersial (seperti pusat beli-belah, hotel, restoran, premis dobi) dan juga di rumah kediaman.  Pemasangan gas berpaip ini perlu mendapatkan Kelulusan untuk Memasang (ATI), Kelulusan untuk Mengendali (ATO) dan Lesen Gas daripada ST. 

Walau bagaimanapun bermula pada 10 Januari 2023, bagi pengguna-pengguna di Sabah, lesen gas bukan lagi di bawah bidang kuasa ST kerana telah diserahkan kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah yang boleh dihubungi melalui emel [email protected] atau telefon di talian 088-205574.

Kebanyakan pengusaha-pengusaha dobi akan memilih sumber tenaga gas berbanding elektrik kerana kos yang lebih murah. Pengusaha dobi menggunakan tenaga gas bagi mengoperasikan mesin pengering dan pemanas air.

  • Bukan Sistem Gas Berpaip adalah menggunakan silinder gas (LPG) (10kg, 12kg atau 14kg) yang disambung terus dari alat atur (regulator)/kepala gas dengan hos getah ke dapur memasak sepertimana yang terdapat dikebanyakan rumah-rumah kediaman. Walaupun sistem gas ini bukan di bawah bidang kuasa  ST, pengguna hendaklah sentiasa peka dengan keadaannya, jika ada kejanggalan yang berisiko keselamatan.
Gambar Hiasan

Berikut adalah panduan gas berpaip yang disyorkan ST terutama kepada pengusaha-pengusaha premis dobi:  

  1. Sekiranya membuat pemasangan gas berpaip, lantiklah kontraktor gas yang berdaftar dengan ST untuk menjalankan kerja-kerja tersebut. 
  2. Lantik kontraktor gas yang berdaftar/orang kompeten gas yang berdaftar dengan ST untuk membuat pemeriksaan sistem gas berpaip setiap dua (2) tahun sekali dan membuat pembaikan sekiranya perlu.
  3. Pastikan perkakas gas/gegasan gas/kelengkapan mempunyai perakuan kelulusan yang dikeluarkan oleh ST.
  4. Sila layari laman web ST di www.st.gov.my untuk carian berkenaan senarai kontraktor gas berdaftar, orang kompeten gas berdaftar di bawah kawasan negeri masing-masing dan senarai perkakas gas, gegasan gas dan kelengkapan yang diluluskan.
  5. Kepada pengusaha-pengusaha premis termasuk premis dobi, selain di Sabah dan Sarawak, yang masih tiada kelulusan dan lesen gas dari ST, hendaklah memohon atau mendapatkan kelulusan dan lesen gas dari ST demi keselamatan orang awam yang menggunakan perkhidmatan dobi ini.

Inisiatif ST untuk Mengawalselia Premis Dobi

  1. ST telah membangunkan dan menyediakan garis panduan untuk dobi-dobi ini iaitu Guidelines on Gas Piping Systems at Launderettes and Similar Installations. Panduan ini boleh dilayari di laman web ST.
  2. Selain itu, ST juga telah mengadakan beberapa seminar kesedaran keselamatan gas berpaip dan penguatkuasaan bersama-sama pihak berkuasa yang lain seperti BOMBAKPDNHEP dan PBT di seluruh Semenanjung dan Sabah.
  3. ST juga sering berhubung dengan persatuan-persatuan pengusaha dobi bagi mendapatkan input-input dari pihak industri dan bertukar-tukar pandangan antara satu sama lain.

Kesalahan dan Penalti

Di bawah subseksyen 30(1), Akta Bekalan Gas 1993 [Akta 501]; “Mana-mana orang yang, dengan melanggar seksyen 11, menjalankan apa-apa aktiviti peruncitan atau penggunaan gas melalui sistem perpaipan tanpa apa-apa lesen melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan didenda selanjutnya tidak melebihi satu ribu ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan, dan mana-mana sistem perpaipan atau bahagiannya yang digunakan atau dicadangkan hendak digunakan dalam melakukan kesalahan itu boleh dilucuthakkan.

Peranan Orang Awam (Pengguna Dobi Layan Diri) yang Semua Wajib Take Note!

  1. Untuk orang awam yang menggunakan perkhidmatan dobi terutama dobi layan diri, sila gunakan premis dobi layan diri yang telah mendapat kelulusan dan lesen gas dari ST. Untuk makluman juga, mengikut garis panduan dobi yang dikeluarkan, lesen gas atau perakuan kelulusan ST (ATI/ATO) akan dipaparkan di ruang pengguna di premis dobi tersebut.
  2. Mohon kerjasama semua pengguna premis dobi atau orang awam selain di Sabah dan Sarawak, agar melaporkan kepada ST, jika meragui status lesen gas ataupun mendapati lesen gas tidak dipamerkan di premis dobi tersebut.

Nasihat untuk pengguna, JADILAH BIJAK TENAGA. Gunakan tenaga dengan bijak dan selamat. Sama-sama kita jadikan kedai dobi tempat yang selamat. Think Safety, Think ST. 

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau aduan, bolehlah hubungi ST di:

  1. Laman Web: www.st.gov.my – eAduan
  2. Telefon: 03 8870 8500
  3. Facebook page: Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia)
  4. Twitter: ST_Malaysia
  5. Instagram: st_malaysia

Nur Farra