Siakap Keli
korban gempa bumi turkiye
Kredit: Bernama

Gempa Bumi: Angka Korban Di Turkiye Sudah Melepasi 12,000 Orang- Agensi

Gempa Bumi: Angka Korban Di Turkiye Sudah Melepasi 12,000 Orang- Agensi

WASHINGTON, 9 Feb (Bernama) — Jumlah korban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda selatan Türkiye sudah melepasi 12,000, lapor Agensi Anadolu memetik sebuah agensi kerajaan pada Khamis.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana (AFAD) Türkiye seramai 12,391 orang terbunuh manakala 62,914 yang lain cedera dalam gempa bumi yang berlaku pada Isnin dan berpusat di wilayah Kahramanmaras.

Wilayah lain di selatan dan timur Türkiye yang turut terjejas ialah Gaziantep, Hatay, Osmaniye, Adiyaman, Malatya, Sanliurfa, Adana, Diyarbakir dan Kilis.

Lebih 6,000 bangunan runtuh dalam gempa bumi berukuran 7.7 dan 7.6 pada skala Richter itu.

“Kami telah menggerakkan semua sumber yang ada. Negeri ini bekerjasama dengan majlis perbandaran terutamanya AFAD,” kata Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika meninjau misi bantuan di Kahramanmaras pada Rabu.

Lebih 13 juta orang turut terjejas akibat gempa bumi itu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan akan menyampaikan bantuan kilat awal minggu depan untuk menyokong keperluan kemanusiaan di Turkiye, kata Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres selepas menandatangani buku takziah di Rumah Turki di New York pada Rabu.

Guterres bertemu dengan Duta Turki ke PBB Feridun Sinirlioglu bagi menyampaikan ucapan takziah.

Beliau berkata PBB juga telah menghantar ketua bantuan kecemasan Martin Griffiths ke Turkiye.

”Martin Griffiths berada di Gaziantep. Beliau juga akan ke Aleppo dan kami cuba sebaik mungkin untuk menggerakkan bantuan PBB,” kata Guterres.

BACA:  Lebih 9 Magnitud, Ini 10 Tragedi Gempa Bumi Paling Dahsyat Pernah Berlaku Dalam Sejarah

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma