Joao Felix Dan Enzo Fernandez Selamatkan Chelsea Daripada Tewas Di Tangan West Ham
Joao Felix berjaya menjaringkan gol pertama peribadi dalam karier Liga Perdana Inggeris semasa pasukannya bertandang ke West Ham pada hari ini, lapor FanNation.
Pemain antarabangsa Portugal itu menyertai Chelsea secara pinjaman daripada Atletico Madrid pada Januari.
Joao telah dirundung malang apabila penampilan sulungnya bersama pasukan dicemari dengan insiden di mana dia terpaksa dibuang padang manakala Chelsea tewas 2-1 ketika menentang Fulham.
Joao kemudiannya turut digantung tiga perlawanan ekoran daripada insiden itu.
Joao Felix Dan Enzo Fernandez penyelamat
Namun pada hari ini, Joao Felix berjaya memberikan gol pertama untuk Chelsea hanya selepas 17 minit permainan bermula. Perlawanan malam ini merupakan penampilan keduanya dalam kelab tersebut.
Joao berjaya menghasilkan penyudah dengan sepakan kaki kanannya selepas menerima hantaran silang daripada Enzo Fernandez.
Jaringan itu merupakan ‘assist‘ pertama Enzo sejak dia menjadi pemain termahal dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.
Chelsea sebelum ini telah menandatangani pemain tengah Argentina itu dari Benfica dengan bayaran memecahkan rekod pada hari terakhir tempoh penutupan perpindahan pemain.
Kedua-dua gol serta assist tersebut walau bagaimanapun hanya berjaya membantu Chelsea untuk mendapat satu mata sahaja selepas pasukan tersebut seri menentang West Ham.
Terdahulu Siakap Keli pernah melaporkan berkenaan perpindahan Enzo Fernandez ke kelab Chelsea.
Chelsea dilaporkan telah bersetuju untuk menandatangani Enzo Fernandez dari Benfica dan akan membayar klausa pelepasan pemain tengah itu yang bernilai 105 juta Pound Sterling (RM 551 juta), menurut sumber kepada ESPN.
Perpindahan itu dilaporkan telah memecah rekod perpindahan Liga Perdana Inggeris terdahulu yang bernilai 100 juta pound (RM524 juta) semasa Manchester City menandatangani Jack Grealish daripada Aston Villa pada 2021.
Fernandez akan berpindah ke Chelsea dengan kontrak yang akan berlangsung sehingga 2031.
Pemain berusia 22 tahun itu telah menunjukkan aksi cemerlangnya bersama Argentina apabila mereka berjaya memenangi Piala Dunia 2022 dan dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Kejohanan.
Menurut laporan ESPN pada hari Isnin lalu, Fernandez telah pun bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh Chelsea. Lalu mendesak kelab Portugal itu untuk mencapai persetujuan dengan The Blues.
Fernandez telah menjadi pemain ketujuh Chelsea yang menandatangani perpindahan pada bulan Januari ini.
Perlawanan pada hari ini berakhir dengan jaringan seri 1-1 selepas West Ham menyamakan kedudukan. Gol persamaan itu berjaya disumbangkan oleh bekas pemain sayap Chelsea, Emerson pada minit ke-28.
West Ham yang dilihat berpeluang untuk memenangi perlawanan pada malam ini akhirnya akur dengan keputusan pengadil. Pengadil telah membatalkan satu lagi gol jaringan oleh West Ham yang berjaya disumbangkan oleh Tomas Soucek.
Jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil selepas semakan VAR dilakukan mendapati Tomas berada di kedudukan offsaid.
Sumber: FanNation