Siakap Keli
Gambar: Goal.com

Enzo Fernandez Dilapor Sah Jadi Milik Chelsea, Pecah Rekod Perpindahan EPL

Enzo Fernandez Dilapor Sah Jadi Milik Chelsea, Pecah Rekod Perpindahan EPL

Chelsea dilaporkan telah bersetuju untuk menandatangani Enzo Fernandez dari Benfica dan akan membayar klausa pelepasan pemain tengah itu yang bernilai 105 juta Pound Sterling (RM 551 juta), menurut sumber kepada ESPN.

Perpindahan itu dilaporkan telah memecah rekod perpindahan Liga Perdana Inggeris terdahulu yang bernilai 100 juta pound (RM524 juta) semasa Manchester City menandatangani Jack Grealish daripada Aston Villa pada 2021.

Fernandez akan berpindah ke Chelsea dengan kontrak yang akan berlangsung sehingga 2031.

Baca: Boleh Jimat Masa, Ini Cara Nak Buat Umrah 3 Kali Tanpa “Apply” Cuti Panjang

Pemain berusia 22 tahun itu telah menunjukkan aksi cemerlangnya bersama Argentina apabila mereka berjaya memenangi Piala Dunia 2022 dan dinamakan sebagai Pemain Muda Terbaik Kejohanan.

Menurut laporan ESPN pada hari Isnin lalu, Fernandez telah pun bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh Chelsea dan mendesak kelab Portugal itu untuk mencapai persetujuan dengan The Blues.

Fernandez telah menjadi pemain ketujuh Chelsea yang menandatangani perpindahan pada bulan Januari ini.

Terdahulu, Chelsea telah berjaya mendapatkan Benot Badiashile, David Datro Fofana, Andrey Santos, Mykhailo Mudryk, Noni Madueke dan Malo Gusto untuk bermain di kelab itu.

Pengurus Benfica, Roger Schmidt tidak berminat untuk melihat Fernandez pergi, tetapi dia sempat berkata bahawa tangan mereka akan terikat jika kelab lain membayar klausa pelepasan pemain itu.

Fernandez berpindah dari kelab Argentina River Plate ke Benfica pada 2022 dan telah bermain sebanyak 29 perlawanan dalam semua pertandingan. Dia berjaya menjaringkan empat gol.

Jika disahkan, perpindahan Fernandez akan menjadikan jumlah perbelanjaan Chelsea ke atas pemain sejak pengambilalihan tahun lalu oleh kumpulan pelaburan yang diketuai oleh Todd Boehly dan Clearlake Capital kepada lebih 500 juta Pound Sterling (RM 2.6 bilion).

Chelsea berada di tangga ke-10 dalam Liga Perdana, 10 mata di belakang tempat empat teratas. Perlawanan seterusnya mereka adalah dalam saingan tempatan Fulham pada hari Jumaat ini.

Sumber: ESPN

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka