Siakap Keli
kontraktor turkiye lari
Gambar: NEXTA TV, The Straits Times

Polis Turkiye Tahan Kontraktor Cuba Lari Ke Luar Negara

Polis Turkiye Tahan Kontraktor Cuba Lari Ke Luar Negara

Polis Turkiye menahan seorang kontraktor yang didakwa cuba melarikan diri selepas bangunan yang dibina syarikat miliknya runtuh dalam gempa bumi yang berlaku Isnin lepas.

Kontraktor berkenaan ditahan di lapangan terbang ketika cuba melarikan diri ke Motenegro. Ketika ditahan, dia didakwa turut membawa satu beg berisi wang yang tidak dinyatakan nilainya, lapor Agensi Anadolu.

Agensi berita tersebut bagaimanapun tidak menyebut secara terperinci mengapa polis menahan kontraktor berkenaan.

Kontraktor Turkiye cuba lari selepas bangunan dibinanya runtuh

Difahamkan, kontraktor berkenaan bertanggungjawab membina sebuah bangunan setinggi 12 tingkat yang runtuh dalam kejadian gempa bumi baru-baru ini. Bangunan berkenaan yang terdiri daripada 250 apartment terletak di wilayah Hatay, tenggara Turkiye.

Sekurang-kurangnya 800 orang penghuni terperangkap dalam runtuhan bangunan yang dibina pada 2013 itu.

Sejak dilanda bencana itu, laporan-laporan media tempatan mula menyebut pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam membina bangunan-bangunan kediaman di Turkiye turut bersalah dalam bencana kali ini.

Mereka mendakwa, sebahagian kontraktor menggunakan bahan berkualiti rendah dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam menyiapkan projek masing-masing. Ia turut menimbulkan kemarahan mangsa dan orang ramai yang mengkritik kualiti bangunan dan perumahan yang kurang baik.

Perkenal peraturan lebih ketat

Sebelum ini, Turkiye pada 2013 telah memperkenal peraturan lebih ketat mengenai bangunan-bangunan baharu yang dibina di negaranya. Keputusan itu dibuat sebagai iktibar daripada bencana gempa yang melanda Turkiye pada 1999 yang meragut lebih 17,000 nyawa.

Terdahulu pada Isnin, Turkiye dilanda gempa bumi kuat 7.8 magnitud yang turut dirasai hingga ke negara jirannya Syria. Gempa berkenaan menyebabkan ribuan bangunan runtuh dan lebih 20,000 mangsa di kedua-dua negara disahkan terkorban setakat ini.

Presiden Turkiye, Recep Tayyep Erdogan turut menyifatkan bahawa gempa tersebut sebagai terburuk sejak gempa 1939. Beliau turut merayu pihak antarabangsa bagi membantu pihaknya menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Banyak negara termasuk Malaysia telah menghantar anggota pasukan penyelamat masing-masing ke kawasan bencana di Turkiye bagi menghulurkan bantuan. Setakat ini, dua kumpulan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Nadma sudahpun tiba dan menjalankan operasi di Turkiye.

BACA: Gempa Turkiye: Lebih 100 Orang Termasuk Di Syria Terkorban

Sumber: News Bulletin 24/7, The Straits Times

Shafikah