Bangkai Penyu Hijau Ditemukan Terdampar Di Labuan
LABUAN, 14 Feb (Bernama) — Seekor penyu hijau (Chelonia mydas) ditemukan mati di pantai Kampung Sungai Labu hari ini dipercayai terkena kipas enjin bot.
Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Faizal Suhaili berkata penyu itu, yang berukuran hampir satu meter panjang, dipercayai telah dibawa arus ke pantai peranginan tersebut beberapa hari lepas.
“Kami mendapati ada kesan kecederaan teruk (pada badan penyu) tetapi tisu telah kembung dan berbau, menunjukkan bahawa penyu itu telah mati beberapa hari,” katanya kepada Bernama.
Bangkai penyu berkenaan ditemukan oleh seorang penduduk kampung pada 7.28 pagi tadi dan beliau memaklumkan hal tersebut kepada jurufoto Bernama Muqtadir Halim yang kemudiannya melaporkan penemuan itu kepada Jabatan Perikanan Labuan.
Penyu hijau merupakan spesies yang biasa ditemui di perairan tropika dan subtropika dan seperti penyu lain, spesies itu melakukan migrasi jarak jauh di antara tempat makan dan pantai ia menetas.
Reptilia itu diklasifikasikan sebagai spesies terancam akibat aktiviti pengambilan telur, pemburuan, terperangkap dalam peralatan menangkap ikan dan kehilangan tempat bertelur.
“Spesies itu dalam risiko tinggi diancam kepupusan jika ancaman terhadap kelangsungan hidup spesies itu tidak ditangani,” katanya.
Pada 17 Sept, 2022, seekor penyu hijau dengan kesan kecederaan pada badan ditemukan di Pantai Mawillah di sini.
Penyu Terancam & Kura-Kura Ditemui Di Hutan Simpan
Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 15 ekor penyu berkepala besar dan 10 ekor kura-kura telah dijumpai di Hutan Simpan Pu Hu di wilayah tengah Thanh Hoá iaitu di bawah projek dua tahun yang bermula sejak 2020.
Menurut Timbalan Pengarah Lembaga Đàm Duy Đông, Lembaga Pengurusan Hutan Simpan Pù Hu menganalisis indentiti Morphological dan Phylogeographic bagi dua spesies yang terancam itu ke arah membina peta kepadatan spesies.
Malah, secara saintifiknya, haiwan itu dikenali dengan nama Platysternon megacephalum dan manouria impressa.
Sebagai sebahagian daripada projek itu, lembaga tersebut juga akan menganjurkan persidangan dan kursus latihan untuk pegawai, mengedarkan risalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kerja pemuliharaan dan membangunkan perisian pengurusan, tambah beliau.
Penyu berkepala besar (Platysternon megacephalum) ialah spesies penyu air tawar yang berbeza evolusi dan terancam secara global. Malah, pemburuan dan perdagangan haram adalah ancaman utama kepada spesies itu.
https://www.facebook.com/bernamaofficial/posts/pfbid02Z7txPuJxEbtTZ7M4Xs2a9mEKog63rfNAe1DVh8go6VTVe6uSqUmUUawfLkW1HJgHl
Sumber: BERNAMA