Syarikat Terima Pujian, Minta Calon Dan Perekrut Pakai Topeng Semasa “Interview” Elak Diskriminasi
Sebuah syarikat di Chengdu, China dipuji kerana meminta calon yang hadir ke sesi temu duga kerja serta perekrut memakai topeng untuk mengelakkan diskriminasi berdasarkan rupa, lapor Oddity Central.
Nama syarikat Chengdu Ant Logistics baru-baru ini menjadi tajuk utama di berita selepas video yang menunjukkan proses pengambilan pekerjanya tular di media sosial China.
Video klip pendek yang dirakam oleh salah seorang daripada calon itu menunjukkan beberapa calon bertopeng dan menunggu untuk ditemu duga oleh seorang perekrut yang dilaporkan turut memakai topeng.

Susulan itu, syarikat tersebut telah mengeluarkan satu kenyataan mengenai perkara yang menjadi tular di media sosial China.
Menurut kenyataan itu, syarikat terbabit mendakwa bahawa video itu dirakam ketika sesi pengambilan dua kali setahun baru-baru ini.
Interview pakai topeng
Jelasnya, pemakaian topeng diperkenalkan untuk menghapuskan diskriminasi berdasarkan rupa, lapor Oddity Central.
Syarikat logistik China itu turut berkata bahawa kaedah pengambilan itu dilaksanakan untuk mengurangkan tahap tekanan calon pekerja.
Selain itu, ia juga untuk menekankan hakikat bahawa mereka lebih menghargai kebolehan individu berbanding penampilan wajah mereka.
Video yang menjadi tular di media sosial China itu mendapat maklum balas positif daripada berjuta-juta pengguna media sosial.
Kebanyakan daripada mereka berkata bahawa mereka tidak kisah memakai topeng apabila memohon pekerjaan baharu.
“Sebagai seorang yang fobia sosial, saya sangat menyukai temu duga kerja seperti itu,” tulis seorang netizen di Douyu.
“Ini adalah kesaksamaan, ketampanan tidak sepatutnya dikira,” tambah seorang lagi.
Bagaimanapun, ada pihak yang meragui kesahihan penjelasan yang dikeluarkan oleh syarikat itu.
Walaupun rakaman video pendek itu memang dirakam oleh calon temu duga kerja yang sebenar, topeng itu didakwa dikeluarkan untuk melindungi identiti orang ramai kerana temu duga itu disiarkan secara langsung.
Malah, ada juga yang mendakwa bahawa selepas video tersebut menjadi tular, syarikat Chengdu Ant Logistics hanya menjadikan wawancara itu untuk mencari publisiti.
Sumber: Oddity Central