Pernah Menjadi Arah Kiblat, Ini Antara Sebab Kenapa Baitulmaqdis Penting Untuk Umat Islam
Jika disebut berkenaan Baitulmaqdis di Palestin apa yang terlintas difikiran anda semua?
Seperti yang diketahui dan disebut dalam Al-Quran, Baitulmaqdis adalah merupakan lokasi penting dalam peristiwa Israk Mikraj yang berlaku pada setiap 27 Rejab dalam kalendar Islam.
Sejarah Israk Mikraj adalah berkaitan dengan peristiwa Nabi Muhammad SAW yang naik ke langit ke-7 untuk bertemu dengan Allah SWT.
Selain daripada peristiwa itu, apa lagi yang menyebabkan Baitulmaqdis ini penting untuk umat Islam? Untuk mengetahui sebab Baitulmaqdis ini penting untuk umat Islam, ikuti artikel ini:
Fakta menarik mengenai Baitulmaqdis
Tempat berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj
Peristiwa itu berlaku pada 27 Rejab tahun ke-12 sewaktu zaman kenabian Nabi Muhammad SAW bersamaan dengan 622 Masihi. Ketika peristiwa itu berlaku, baginda Nabi Muhammad SAW berumur 52 tahun.
Peristiwa itu juga berlaku setahun sebelum peristiwa besar dalam Islam iaitu Hijrah dari Mekah ke Madinah.
Peristiwa Israk Mikraj telah mengambil masa kira-kira satu malam di mana baginda kembali semula ke Mekah sebelum terbitnya fajar.
Dalam perjalanan yang jauh itu, baginda telah menunggang Buraq ditemani bersama malaikat Jibril dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin. Baginda kemudiannya telah diangkat dari bumi ke langit ke-7.
Tempat ibadat umat Islam yang ketiga selepas Mekah dan Madinah
Sebelum berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, arah kiblat utama bagi umat Islam adalah berarah ke Baitulmaqdis.
Arah kiblat kemudiannya telah ditukar ke Kaabah di Mekah selepas peristiwa Israk dan Mikraj sewaktu Nabi Muhammad SAW mula tinggal di Madinah.
Lokasi terletaknya Masjid Al-Aqsa
Nama Masjid Al-Aqsa adalah bermaksud sebagai ‘Masjid Terjauh’. Masjid Al-Aqsa yang terletak di Palestin merupakan salah satu tempat suci bagi agama Islam di seluruh dunia. Ia telah menjadi sebahagian daripada kompleks bangunan keagamaan di Kota Lama Baitulmaqdis.
Komplek bangunan tersebut juga dikenali sebagai Al Haram Al Sharif atau “tanah suci yang mulia”. Malah bagi orang Yahudi dan Kristian pula, bangunan itu dianggap sebagai Kuil Suci dalam kepercayaan agama mereka.
Tercetusnya Perang Salib Pertama
Pada tahun 1099 Masihi, tentera salib telah berjaya menakluk Baitulmaqdis. Penaklukan ini termasuklah Masjid Al-Aqsa tersebut. Ketika berlakunya Perang Salib Pertama tersebut, mereka telah menggunakannya sebagai istana kerajaan dan kandang kuda.
Bagaimanapun, fungsi Masjid itu telah dikembalikan kepada asalnya selepas pasukan Islam yang dipimpin oleh Salahhuddin Al-Ayyubi berjaya merebut kembali Baitulmaqdis. Ia berlaku selepas tentera Salahhuddin Al-Ayyubi melakukan pengepungan pada tahun 1187 Masihi.
Perubahan yang dilalui oleh Baitulmaqdis
Di bawah pentadbiran Khalifah Uthmaniyah yang memegang kuasa mulai 1517 Masihi. Tidak banyak perubahan yang dibawa ke atas Masjid Al-Aqsa. Namun mereka sebaliknya telah melakukan penambahbaikan pada kawasan Al-Haram Al-Sharif secara keseluruhannya.
Perubahan itu termasuklah pembinaan tiga kubah telah dibangunkan. Kubah yang paling terkenal ialah Kubah Nabi yang dibina pada 1538 Masihi.
Sumber: Astro Awani