Siakap Keli
bayi masih hidup jatuh bangunan
Kredit: Agensi Anadolu

Ajaib, Bayi 8 Bulan Jatuh Bangunan Tingkat Lima Dilaporkan Masih Hidup

Ajaib, Bayi 8 Bulan Jatuh Bangunan Tingkat Lima Dilaporkan Masih Hidup

Pasukan perubatan yang merawat seorang bayi berusia lapan bulan selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan semasa gempa bumi besar melanda selatan Turkiye pada minggu lalu menyifatkan kelangsungan hidupnya sebagai ‘ajaib’.

Lapor Agensi Anadolu, Birce Fansa dilaporkan jatuh dari tingkat lima bangunan bersama buaiannya semasa gempa bumi di daerah Antakya di Hatay.

Ibu dan bapanya, Nilay dan Cengiz masing-masing berjaya diselamatkan daripada runtuhan bangunan kira-kira 13 dan 33 jam selepas gempa itu.

Manakala adik-beradiknya Alin dan Nil maut semasa bencana itu berlaku.

Bayi itu ditemukan oleh penduduk dalam keadaan menangis dan dibawa ke Hospital Adana City untuk diberikan rawatan lanjut.

Pakar perubatan, Dr Nursah Keskin yang merawat bayi itu di hospital memaklumkan kepada pemberita bahawa Birce merupakan bayi yang sangat bertuah.

Ujarnya, sekiranya ia terjatuh di tanah pelbagai perkara buruk boleh berlaku.

BACA: Lelaki Ramal Gempa Bumi Kuat Bakal Landa Turkiye 3 Hari Sebelum Tragedi Benar-benar Berlaku

“Kami memulakan rawatan untuk memulihkan pendarahan intrakranial. Kakinya patah.

“Perkara yang lebih teruk boleh berlaku dengan impak terhempap ke tanah (akibat jatuh dari bangunan). Tuhan melindunginya, itu satu keajaiban,” katanya.

Ibu bayi itu berkata, pada mulanya dia tidak tahu bahawa Birce masih hidup tetapi apabila dimaklumkan mengenai anaknya, dia berasa lega.

35,400 dilaporkan terbunuh dalam gempa bumi

Sekurang-kurangnya 35,400 orang terbunuh dalam dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye pada 6 Februari.

Perkara itu disahkan oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Selasa.

Gegaran magnitud 7.7 dan 7.6 pada minggu lalu  berpusat di wilayah Kahramanmaras yang turut dirasai di sembilan kawasan lain.

Wilayah itu termasuk Hatay, Gaziantep, Adiyaman, Malatya, Adana, Diyarbakir, Kilis, Osmaniye dan Sanliurfa.

Lebih 13 juta orang telah terjejas disebabkan oleh bencana yang dasyat.

Pasangan beri makan air liur, bayi hanya bertahan lima hari

Terdahulu, media melaporkan sepasang suami isteri sanggup memberi makan air liur kepada bayinya setelah mendapati susu badan kering ketika berada di bawah runtuhan gempa bumi Turkiye, lapor Agensi Anadolu.

Walau bagaimanapun, bayi bernama Muhammet Alparslan dilaporkan hanya dapat bertahan selama lima hari.

“Kami mempunyai seorang anak lelaki berusia enam bulan, susu isteri saya tidak lagi ada jadi saya cuba memberinya makan dengan air liur saya.

“Pada hari kelima di bawah runtuhan, Muhammet tidak lagi bernafas, saya memeriksa nadinya dan mendengar degupan jantungnya dan saya sedari dia meninggal dunia pada waktu pagi,” kata bapa bayi, Muharrem.

Sumber: Agensi Anadolu

BACA: 16 Bayi Ditemui Di Gempa Bumi Turkiye Selamat Dibawa Ke Ankara

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana