Polis Sahkan Kenderaan Hanyut Dalam Pembentung Akibat Banjir
PENAMPANG — Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengesahkan beberapa imej sebuah pacuan empat roda terperosok di dalam pembentung parit berdekatan bulatan Sigah, Pekan Donggongon merupakan kenderaan yang dihanyutkan arus deras banjir semalam.
Difahamkan, gambar yang memaparkan kejadian itu tular di media sosial sejak awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Harris Hj Ibrahim berkata pihaknya telah menerima laporan oleh pemilik kenderaan tersebut.
“Hasil siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku pada 14 Februari 2023 lalu ketika daerah ini dilanda banjir.
“Keadaan jalan di kawasan berkenaan yang dinaiki air pada hari kejadian menyukarkan mangsa hingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya terbabas ke parit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Harris, mangsa berjaya menyelamatkan diri. Namun, kenderaan yang dipandunya telah dihanyutkan arus deras banjir sehingga terperosok ke dalam pembentung parit itu.
Susulan itu, pihak polis menasihatkan agar orang ramai tidak memuat naik sebarang fakta yang tidak sahih dimana-mana platform media sosial berhubung kejadian.
Hal ini bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dan mendatangkan kegusaran masyarakat.
BACA JUGA: Tular Insiden Gaduh Di Batu Pahat, 11 Lelaki Ditahan
Terdahulu, Pitas dan Kota Marudu merupakan dua daerah yang dilanda banjir akibat hujan lebat yang berterusan beberapa minggu lalu.
Memetik laporan Bernama, ia melibatkan 79 mangsa daripada 21 keluarga telah dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Pitas.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan, penambahan dua daerah itu menjadikan mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 166 orang daripada 41 keluarga.
Jumlah itu meningkat berbanding 65 orang daripada 16 keluarga pada malam sebelum itu.
Lapor kenyataan itu, dua PPS telah di buka di daerah Paitan iaitu Dewan Kampung Kubambangan dan Dewan Kampung Batangon Darat.
Di PPS Dewan Kampung Kubambangan telah menempatkan 38 mangsa daripada 10 keluarga. Manakala, Dewan Kampung Batangon Darat pula seramai 49 mangsa daripada 10 keluarga.
Sementara itu, tiga PPS di Pitas pula termasuk Ketua Kampung Sinasak Batu menampung 18 mangsa daripada enam keluarga selain PPS Surau Kampung Sibuang menjadi rumah sementara kepada 38 mangsa daripada sembilan keluarga.
Dan Dewan Kampung Kusilad pula menempatkan 23 mangsa daripada enam keluarga sebagai tempat berlindung.
Sumber: Polis Daerah Penampang