Temui Urungan Lipas Dan Najis Tikus, DBKL Arah 4 Kedai Makan Ditutup Serta-Merta
Sebanyak empat premis makanan daripada 25 yang diperiksa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diarah tutup serta-merta selepas gagal mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Menurut DBKL, operasi yang dilakukan pada malam Khamis di sekitar Jalan Kuchai Maju, Seputeh itu telah menemukan urungan lipas dan najis tikus di salah satu premis yang diperiksa.
4 kedai makan ditutup DBKL
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pemeriksaan turut mendapati pemilik premis tidak menjaga kebersihan dapur mereka selain lantai berada dalam keadaan kotor dan berdaki hitam.
“Ada yang tidak memasang perangkap minyak dan ada juga perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik selain meletakkan bahan makanan secara terus dilantai.
“Selain itu didapati terdapat kedai beroperasi tanpa lesen, menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah. Serta pengendali makanan tidak mendapat suntikan tifoid atau kursus penyediaan makanan,” ujarnya menerusi kenyataan Facebook pada hari ini.
42 notis kompaun dikeluarkan
Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa sebanyak 42 notis kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) tersebut telah membabitkan seramai 31 anggota.
Kedua-dua tindakan itu telah dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, UUK Pengendali Makanan 1979 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1976.
“DBKL akan meneruskan operasi seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengendali makanan mematuhi peraturan dan piawaian yang telah ditetapkan,” tulis kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Siakap Keli pernah melaporkan berkenaan video tular seekor tikus dilihat berada di atas tempat gorengan ayam.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapannya di Twitter telah meminta seorang pengguna Twitter bernama zoeyhanafiah yang memuat naik video kelibat tikus berkeliaran di sebuah restoran tampil memberikan maklumat terperinci.
Video yang tular tersebut memaparkan seekor tikus sedang bebas memakan ayam goreng di kawasan tempat pameran ayam goreng berkenaan.
Menurut keterangan video yang tular tersebut, kejadian itu dikatakan berlaku di sebuah restoran yang tidak dinyatakan.
Rentetan tular video tersebut, KKM telah meminta bantuan perakam video tersebut untuk tampil dan memberi maklumat lanjut agar tindakan tegas boleh diambil ke atas kedai makanan tersebut.
“Mohon bantu kami berikan maklumat. Kami akan ambil tindakan selanjutnya dengan kadar SEGERA,” tulis KKM.
Sumber: Sinar Harian