Ubur-Ubur Api Beracun Ditemui Terdampar Di Pantai Bukit Keluang
BESUT — Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan memaklumkan penemuan ubur-ubur jenis Portuguese Man of War terdampar di sepanjang Pantai Bukit Keluang, Besut, Terengganu.
Difahamkan, haiwan beracun itu juga dikenali sebagai ubur-ubur api beracun atau nama saintifiknya Physalia physalis.
Susulan penemuan itu, pihak Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan berharap agar pengunjung mengelakkan diri daripada menyentuh haiwan beracun tersebut.

“Diharapkan semua pengunjung dapat memberikan kerjasama agar berhati-hati dan tidak menyentuh ubur-ubur beracun ini,” maklum kenyataan itu.
Sebelum ini, haiwan tersebut turut dilaporkan berada di Pantai Pulau Kekabu pada bulan lalu selepas dijumpai oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerang Marang, lapor Sinar Harian.
BACA JUGA: Ramai Tak Tahu, Ini Fungsi “Grill” Di Bahagian Depan Kereta
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marang, Leftenan (PA) Mujahid Abd Wahab berkata, haiwan itu ditemukan oleh petugas APM sewaktu melakukan rutin rondaan harian kira-kira jam 10.30 pagi.
Jelas Mujahid, jumlah ubur-ubur jenis itu yang dijumpai di pantai Pulau Kekabu adalah sebanyak tujuh ekor.

“Anggota APM telah mengumpulkan semua ubur-ubur berbahaya ini dan bertindak melupuskan dengan cara menanam ke dalam pasir bagi mengelak ancaman kepada pengunjung,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Susulan penemuan ubur -ubur beracun itu, lokasi pesisir pantai yang menjadi tumpuan pelancong akan dipertingkatkan dengan rondaan.
Oleh hal yang demikian, beliau meminta orang ramai untuk bekerjasama sekiranya terjumpa dengan haiwan itu. Ia bagi tindakan berikutnya dapat dilakukan dengan segera.
“Jika terjumpa ubur-ubur ini, jangan sentuh atau pegang kerana ia masih beracun dan berbahaya walaupun sudah mati.
“Ubur-ubur ini boleh melumpuhkan mangsa melalui sengatannya selain turut menyebabkan melecur pada kulit dan lebih serius. Ia boleh membawa maut jika tidak dirawat segera,” katanya lagi.

Difahamkan, haiwan berkenaan juga dikesan di Pantai Seberang Takir, Kuala Nerus.
Sehubungan itu, antara langkah yang dikemukakan oleh kerajaan negeri termasuklah menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) meletakkan papan tanda amaran.
Saranan itu berfokuskan di sekitar pantai tumpuan pengunjung di setiap daerah.