Siakap Keli
5 Adun Umno Sabah
Kredit BERNAMA

Lima ADUN UMNO, Tiga Bekas Adun Warisan Sertai Parti Gagasan Rakyat Sabah

Lima ADUN UMNO, Tiga Bekas Adun Warisan Sertai Parti Gagasan Rakyat Sabah

KOTA KINABALU, 21 Feb (Bernama) — Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah hari ini mengisytiharkan keluar parti itu dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

ADUN UMNO itu ialah ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamild @ Hamid Awang (Balung).

Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga bekas ADUN Parti Warisan (Warisan) iaitu ADUN Banggi Mohammad Mohamarin, Norazlinah Arif (Kunak) dan Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Bercakap pada sidang media bersama tujuh ADUN itu, Yusof berkata mereka membuat keputusan keluar daripada UMNO dan menyertai Gagasan Rakyat adalah sejajar dengan prinsip perlunya kestabilan politik dalam negara dan Sabah, selain menyedari pemimpin Sabah harus bersatu memperjuangkan hak negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau berkata perpecahan politik yang berpanjangan akan membantutkan pembangunan Sabah, justeru kestabilan politik itu penting bagi menambah keyakinan pelabur tempatan dan luar bagi meningkatkan ekonomi negeri.

“Kami bersedia berdepan dengan sebarang tindakan daripada UMNO berikutan keputusan menyertai Gagasan Rakyat,” katanya.

Yusof berkata ADUN yang menyertai Gagasan Rakyat juga menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Hajiji Noor untuk terus menerajui Sabah sebagai Ketua Menteri.

Susulan tindakan lima ADUN UMNO itu, UMNO kini mempunyai 13 ADUN mewakili parti itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah manakala Warisan kini mempunyai 16 ADUN di Sabah dan satu di Selangor.

Pada 8 Jan lepas, lima ADUN UMNO iaitu ADUN Tanjung Keramat Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan, Yusof, James, Jasnih dan Mohd Arsad bertindak mengekalkan sokongan kepada Hajiji walaupun Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan parti itu menarik balik sokongan tersebut.

DUN Sabah mempunyai 73 ADUN dilantik dan enam ADUN dipilih menjadikan keseluruhan 79 ADUN dan tindakan kesemua ADUN itu hari ini membolehkan Hajiji kini mempunyai sokongan majoriti 48 ADUN untuk terus mentadbir kerajaan Sabah.

Sumber: BERNAMA

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka