Sering Persoal Anak Tak Kahwin Lagi, Wanita Disahkan Hidapi Sakit Mental
Seorang wanita di China disahkan mengalami masalah kesihatan mental gara-gara tabiatnya yang sering memaksa anak lelaki tunggalnya untuk berkahwin.
Memetik India Times, ibu yang prihatin terhadap anaknya yang berusia 38 tahun itu dilaporkan sehinggakan telah sampai ke satu tahap membawa anaknya berjumpa pakar psikiatri pada setiap kali Tahun Baru Cina.
Lelaki dari wilayah Henan di China tersebut menjadi tular di negara itu kerana mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Dia dikatakan membawa isu yang semakin meningkat mengenai tekanan untuk berkahwin daripada ibu bapa di negara itu.
Menerusi video yang tular itu, lelaki terbabit memberitahu penonton bahawa dia tidak pernah membawa pulang teman wanitanya pada Tahun Baru Cina.
Persoal anak tak kahwin
Perkara itu telah menyebabkan ibunya mempersoalkan jika dia mempunyai sesuatu yang tidak kena dalam dirinya.
Susulan itu, pada 4 Februari lepas, lelaki yang dikenali sebagai Wang itu dibawa ke Hospital Psikiatri Wilayah Henan oleh ibu bapanya sekali lagi.
Selepas beberapa kali lawatan, doktor akhirnya memberitahu ibunya bahawa anaknya tidak mempunyai sebarang sakit atau permasalahan.
Sebaliknya, ibu kepada Wang yang perlu diperiksa kerana didapati mengalami gangguan mental iaitu ‘memaksa anaknya berkahwin’.

Golongan muda bersimpati dengan Wang
Dalam perbualan dengan Beijing News, Wang mendedahkan bahawa dia pernah bekerja sebagai pelakon dan kini menjadi jurulatih Tenis sementara.
Malah, dia juga sudah menetap di Beijing selama lebih daripada sedekad.
Dalam pada itu, Wang juga turut menjelaskan mengapa dia mengikuti obsesi aneh ibunya, lapor India Times.
“Saya tidak sepatutnya dikenal pasti sebagai orang yang belum berkahwin. Saya sangat sibuk dan belum bertemu dengan orang yang betul,” jelas Wang.
“Ibu saya tidak boleh tidur kerana saya belum berkahwin, jadi saya berasa agak kecewa,” jelasnya.
Wang juga mendedahkan bahawa di kampung halamannya, dia terkenal sebagai lelaki bujang yang sangat tua.
Perjuangan Wang menyentuh banyak hati apabila rakyat di China bersatu ketika mereka bercakap tentang tekanan yang mereka hadapi daripada keluarga mereka untuk berkahwin secepat mungkin.
Pada kebiasaannya, tekanan untuk berkahwin sering berlaku apabila menjelang Tahun Baru Cina dan anak-anak muda pulang ke kampung halaman mereka untuk melawat keluarga.
Kesemua perbualan akan menjadi ceramah tentang bagaimana individu itu harus berkahwin dan perlu diselesaikan tidak lama lagi.
Walaupun generasi tua di China percaya seseorang individu itu harus kahwin dan mempunyai anak, golongan muda di negara itu lebih berhati-hati dan ragu-ragu terhadap perkahwinan.
Sumber: India Times