Barcelona Lawan Manchester United, Pertembungan ‘Gergasi’ Sebenar
Awal pagi esok, pasukan Manchester United dijadualkan akan bertemu pendahulu Liga Sepanyol, Barcelona. Ini adalah pertembungan timbal balik dalam saingan UEFA Europa League.
Untuk perlawanan pertama, keputusan seri 2-2 mengikat kedua-dua pasukan hebat ini. Jaringan United dijaringkan oleh Marcus Rashford dan gol sendiri dari Jules Kounde. Manakala, gol Barca dijaringkan Alonso dan Raphinha.
Perlawanan pertama mendapat perhatian rakyat bolasepak dunia dan ada yang mengiktiraf perlawanan itu seakan perlawanan akhir bagi saingan kedua tertinggi kelab eropah.
Awal pagi esok (4 pagi waktu Malaysia) bakal jadi penentu sama ada United atau Barca akan ke peringkat seterusnya.Harus diingat, peraturan gol ditempat lawan sudah tidak diguna pakai dalam semua pertandingan di bawah UEFA.
Mana-mana pasukan yang menjaringkan gol lebih daripada pasukan lawannya, pasukan itulah yang akan layak. Manchester United berada dalam prestasi luar biasa ketika ini. Kali terakhir tewas di tangan Arsenal pada bulan Januari.
Barcelona juga tidak kurang hebatnya, apabila kelab bimbingan Xavi Hernandez itu sedang mendahului La Liga. Barca sudah mengumpul 59 mata, 8 mata meninggalkan seteru utama Real Madrid.
Perlawanan Wajib Tonton
Barcelona lawan United awal pagi ini akan menjadi sengit dan wajib tonton buat semua penyokong bola sepak. Sudah pasti kedua-dua pasukan menjanjikan aksi tanpa batas dengan memberikan persembahan terbaik.
Terbaru, United menewaskan Leicester dengan jaringan 3-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Manakala aksi terakhir Barcelona menang 2-0 menentang kelab Cadiz dalam saingan La Liga.
Jelas disini, kedua-dua pasukan dalam ‘form’ terbaik untuk bertemu sesama sendiri. Mungkin akan menjadi perlawanan yang paling ramai ditonton untuk 2023 setakat ini.
Ten Hag juga telah bertemu dengan lagenda United, Sir Alex Ferguson untuk mendapatkan khidmat nasihat untuk bertemu pasukan Barcelona. Dengan pengalaman Ferguson, sudah pasti banyak boleh membantu Ten Hag esok.
Xavi pula bermain perang psikologi apabila memuji tiga pemain tonggak United. Pemain yang dipuji adalah Rashford, Varane dan Casemiro. Ini kerana ketiga-tiga pemain ini menunjukkan aksi luar biasa dalam beberapa perlawanan lepas.