Lelaki Berjaya Pecah Rekod Dunia, Kunjungi Disneyland Hampir 3,000 Kali
Seorang lelaki dari California berjaya memecahkan Rekod Dunia Guinness untuk lawatan paling banyak secara berturut-turut ke Disneyland, lapor People.
Jeff Reitz, 50, mula melawat taman tema itu setiap hari bermula 2012 dan telah mengunjungi sebanyak 2,995 kali dalam tempoh lapan tahun, tiga bulan dan 13 hari.
“Ia bermula sebagai jenaka antara rakan apabila Disneyland mengumumkan akan memberikan ‘Hari Disney Tambahan’ berikutan hari lompat pada 2012,” kata Reitz.
“Kami memutuskan untuk ke Disneyland untuk berhibur kerana mempunyai pas tahunan, jadi ia adalah sumber hiburan percuma,” katanya.
Reitz dikatakan telah mengunjungi Disneyland secara solo dan juga bersama individu lain yang ingin menyertai keseronokan itu.
Sebagai seorang pekerja sepenuh masa, Reitz akan memeriksa jadual taman tema dan jadualnya untuk memastikan dia boleh ke Disneyland sebelum ia ditutup apabila mereka mengadakan acara khas.
Reitz memberitahu Guinness bahawa dia biasanya akan berjalan-jalan di sekitar taman tema untuk mengambil gambar dan kongsikan ke media sosial.
“Ada hari saya akan pergi ke tempat paling banyak tarikan dan pada masa lain saya mungkin menumpukan perhatian saya pada satu bahagian taman itu,” katanya.
“Hanya ada satu tarikan di Disneyland, iaitu Mr. Toad’s Wild Ride, tetapi Matterhorn Bobsleds sentiasa menjadi kegemaran saya,” katanya lagi.
Menurut Guinness, Reitz pernah didatangi oleh seorang wartawan yang telah mengikuti media sosialnya tentang melawat ke Disneyland, lapor People.
Reitz berkata, pada 1 Julai 2012, wartawan dari Orange Counter Register mengeluarkan artikel tentang pencapaiannya melawat Disneyland pada hari ke 183.
Ekoran daripada itu, dia telah dihubungi oleh akhbar dan stesen radio dari seluruh dunia untuk diwawancara.
Pecah rekod dunia kunjungi Disneyland
Reitz telah menerima bakul hadiah dan sijil pengisytiharan Kewarganegaraan Kehormat selepas dia melawat taman tema itu selama 366 hari berturut-turut, menurut Guinness World Records.
“Mereka juga menawarkan saya makan malam untuk menyempurnakan tahun kedua,” katanya.
“Terakhir, mereka memberikan hadiah beg galas apabila saya mencapai hari ke 2,000 pada 2017,” kata Reitz.
Pengembaraan Reitz ke Disneyland telah memberi inspirasi kepada orang lain untuk mencuba dan melakukan perkara yang sama.

“Saya sentiasa mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka, anda belajar banyak dalam masa yang diperlukan untuk mencapai rekod sedemikian,” katanya
“Antaranya seperti pengurusan masa dan kewangan untuk dapat menjalani kehidupan dan melakukan lebih daripada satu perkara,” katanya.
Jika bukan kerana pandemik COVID-19, Reitz akan melawat taman tema itu sebanyak 3000 kali.
Bagaimanapun, dia tidak sabar untuk kembali bagi sambutan ulang tahun ke-100 Disney pada tahun ini.
“Saya belum menetapkan tarikh, tetapi sekarang saya fikir ia sangat menyeronokkan untuk kembali dengan sijil gelaran Rekod Dunia Guinness saya bagi mendapatkan gambar di mana saya memperolehnya,” ujar Reitz.
Sumber: People