Niat seorang wanita di Thailand yang keluar rumah untuk mencari telur semut merah bertukar tragedi apabila dia ditanduk oleh seekor seladang liar baru-baru ini.
Lapor The Thaiger, insiden tragis itu berlaku di kawasan luar bandar wilayah Nakhon Ratchasima di timur laut Thailand pada 2.40 petang semalam.
Ketua kampung Ban Phong Ta Long di daerah Pak Chong, Chamras Phusuman dimaklumkan, seseorang telah diserang oleh seladang di kebun mangga berhadapan Jalan Luar Bandar Suan Udomphon.
Susulan itu, lebih daripada 10 orang penduduk kampung bergegas ke kebun itu untuk menemui mangsa, 45, yang dilapor sudah terbaring di atas tanah dengan berlumuran darah.
Malah, mangsa juga dikatakan mengalami luka serius di dada, perut dan kedua-dua bahagian matanya.
Difahamkan penduduk kampung membawanya keluar dari hutan menuju ke jalan raya terdekat untuk ke hospital berhampiran, iaitu Hospital Mukutkiriwan.
Bagaimanapun, disebabkan mengalami kecederaan serius dan teruk, mangsa terpaksa dipindahkan ke Hospital Pak Chong Nana di mana dia masih dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, rakan mangsa mendedahkan bahawa dia dan mangsa keluar untuk mencari sarang semut merah kerana telurnya mampu terjual sehingga harga 200-300 baht sekilogram pada ketika itu.
Hal ini kerana, telur semut merah adalah makanan istimewa di Thailand.
Kejadian wanita ditanduk seladang bermula
Kejadian bermula apabila mereka berjalan ke dalam hutan hingga mengejutkan seekor seladang yang sedang tidur di kawasan berhampiran.
Sejurus selepas terjaga, ia terus menyerang mereka dengan menanduk mangsa sementara rakannnya sempat melarikan diri dengan memanjat pokok.
Tambah The Thaiger, kawasan hutan tersebut berhampiran dengan sempadan Taman Negara Khao Yai memang menempatkan banyak haiwan lair berbahaya seperti seladang, harimau dan gajah.

Apabila Ketua Daerah Pak Chong, Knatchon Sricharoen mendengar tentang berita itu, dia pergi melawat mangsa di hospital bersama pegawai taman negera untuk memberikan bantuan.
Dalam masa yang sama, penduduk tempatan mendedahkan bahawa mereka tidak berani untuk memasuki hutan tersebut kerana tahu ia selalu dikunjungi oleh seladang liar.
Pada bulan Disember tahun lalu, seorang pemandu secara tidak sengaja melanggar seladang di wilayah yang sama. Difahamkan lelaki berkenaan mengalami kecederaan yang ringan manakala seladang itu juga cedera tetapi melarikan diri ke dalam hutan.
Tidak berakhir di situ, bahagian depan keretanya dikatakan telah mengalami keosakan yang teruk. Hal ini kerana seladang liar adalah spesies lembu terbesar dengan berat sehingga 1,500 kilogram dan tinggi sehingga 1.9 meter bagi seekor jantan.
Sumber: The Thaiger