Siakap Keli
Gambar via Utusan

Tiga Bersaudara Ditemukan Lemas Di Lata Changkah

SETIU – Kejadian lemas yang berlaku di Lata Changkah, Ulu Seladang semalam melibatkan tiga mangsa yang merupakan saudara termasuk dua beradik telah menemui ajal bersama selepas bermandi-mana.

Difahamkan, mangsa tiga bersaudara tersebut mempunyai hubungan yang cukup erat antara satu sama lain. Hubungan erat Syariatul Nurfatihah Mohd. Dera, 28, dan adiknya, Syariatul Noor Syafiqa, 26, bersama sepupu mereka, Siti Aisyah Mazalan, 19, amat rapat dari mereka kecil lagi.

Ibu kepada mangsa yang merupakan adik-beradik, Sarimah Awang, 62, berkata, hubu­ngan yang erat itu turut mendorong mangsa untuk sentiasa bersama-sama hingga ke hujung nyawa mereka.

Beliau juga berkata, sebelum bergerak ke destinasi, mereka bertiga dilihat sangat gembira dan sempat bergurau sesama sendiri semasa berada di dalam perjalanan.

“Kami bertolak ke Lata Changkah dari kediaman di Kampung Hilir Maras, Kuala Nerus pada pukul 10.30 pagi dengan menaiki dua kereta.

“Keluarga saya sudah biasa berkelah di situ kerana terletak berhampiran rumah adik di Kampung Ulu Seladang cuma, semalam kami memutuskan untuk mandi di lokasi yang agak terpencil kerana terlalu ramai pengunjung berkelah,” kata beliau di Unit Forensik Hospital Setiu.

Beliau menambah, disebabkan beliau membawa seorang cucunya bermandi-manda, beliau pulang ke rumah lebih awal dari yang lain untuk berehat di rumah adiknya. Namun, tidak menyangka akan menerima berita sedih keluarganya lemas di sana.

Beliau diberitahu, anak sulungnya iaitu Syariatul Syafira, 32, turut hampir lemas dihanyutkan arus deras ketika mencuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa dan kini berada di Hospital Setiu untuk dirawat.

Kejadian berlaku sekitar jam 2.30 petang apabila enam sekeluarga berkenaan mahu pulang sebelum seorang daripada­nya tergelincir lalu terjatuh ke dalam air dan menarik bersama dua mangsa lain.

Jenazah ketiga-tiga bersaudara itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hilir Maras di Batu Rakit Kuala Nerus pada pukul 4.30 pagi.

Sumber: Utusan

Nurlizah Khazani