Siapa sahaja yang tidak berasa teruja untuk bersukan sambil menikmati pemandangan menarik di Litar Antarabangsa Sepang (SIC)?
Itulah yang dirancang oleh wartawan dan penulis bebas sukan permotoran yang mengkhusus dalam MotoGP, Simon Patterson, ketika berkunjung ke litar berkenaan.
Bagaimanapun, hasratnya untuk berjoging sambil menikmati suasana di litar itu terpaksa dihentikan dengan lebih awal apabila hujan lebat tiba-tiba turun.

Menerusi satu hantaran di Threads, Patterson berkongsi bahawa dia pada awalnya merancang untuk berlari sebanyak dua pusingan di litar tersebut.
Namun, perubahan cuaca secara tiba-tiba memaksanya menghentikan aktiviti itu lebih awal selepas hanya sempat melengkapkan satu pusingan.
“Saya bermula ketika cuaca cerah dengan hasrat untuk berlari dua pusingan, tetapi terpaksa mengalah selepas hanya satu pusingan sebelum saya lemas,” katanya secara berseloroh.
Menerusi hantaran sama, Patterson turut berkongsi dua keping gambar yang memperlihatkan keadaan litar sebelum dan selepas hujan melanda.
Wartawan MotoGP Mengalah Dengan Hujan Malaysia
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut berseloroh mengalu-alukan kedatangannya ke Malaysia.
Untuk rekod, Patterson berada di Malaysia bagi membuat liputan PETRONAS Grand Prix of Malaysia 2026 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Acara Kejuaraan Dunia MotoGP itu berlangsung di SIC dan merupakan pusingan ke-19 dalam kalendar perlumbaan musim 2026.

