Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) telah meluluskan permohonan TESLA untuk mengimport Bateri Kenderaan Elektrik (BEV) ke Malaysia. Dalam merealisasikan objektif ini, TESLA akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman Tesla dan Pusat Servis TESLA serta mewujudkan rangkaian pengecas Superchargernya di Malaysia.
Kehadiran TESLA di Malaysia dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem TESLA di peringkat domestik dan global.
“Kami gembira dengan keputusan TESLA untuk turut serta dalam ekosistem Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia. Ini membuktikan keyakinan TESLA terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia.
“Walaupun telah banyak jenama global utama memilih untuk melabur di Malaysia, MITI dan agensinya akan terus meningkatkan usaha dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, sambil terus menaikkan profil Malaysia sebagai negara pro-perdagangan, pro-industri dan pro-pelaburan.
“Kami juga akan memanfaatkan ekosistem Elektrik & Elektronik secara strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi teknologi berkaitan mobiliti elektrik,” kata Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, Menteri MITI.
Kemasukan TESLA telah dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif BEV Global Leaders bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.
Di samping itu, inisiatif ini bertujuan untuk mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia. TESLA ialah pemohon pertama inisiatif oleh MITI ini.
Malaysia Welcomes @Tesla! @MITIMalaysia has approved Tesla's application to import BEVs into Malaysia.
Tesla will establish a Head Office, Tesla Experience & Service Centres, and Supercharger network, simultaneously creating skilled & better paying jobs for M'sians. pic.twitter.com/BbQP7jNazX
— Tengku Zafrul 🇲🇾 (@tzafrul_aziz) March 1, 2023