Siakap Keli
431 calon spm banjir
Gambar: Bernama

Seramai 431 Calon SPM Tak Dapat Duduki Peperiksaan Akibat Banjir

Seramai 431 Calon SPM Tak Dapat Duduki Peperiksaan Akibat Banjir

Terkandas akibat banjir, seramai 431 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) di tiga negeri dilaporkan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan seperti yang dijadualkan, lapor Astro Awani.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata maklumat terperinci mengenai calon terlibat sedang dikumpul oleh Lembaga Peperiksaan (LP).  Hal ini termasuk penjadualan semula peperiksaan SPM 2022 bagi kesemua calon yang terjejas.

“Berikutan hujan lebat berterusan pada 1 Mac 2023, sebanyak 17 pusat peperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas.

“Daripada jumlah ini, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan. Jalan raya juga tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.

BACA: Bukan Sekadar Helaian Kertas, Kenapa SPM Penting?

“Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan,” katanya pada Khamis.

Dalam pada itu, calon-calon peperiksaan SPM 2022 juga dinasihatkan agar memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika terkandas dalam banjir.

Tambah KPM, calon yang terlibat boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran.

“Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.

“KPM sentiasa komited untuk melakukan yang terbaik dan akan terus memantau situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM tahun 2022 berlangsung.

“KPM juga mendoakan agar semua calon dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan sihat, selamat dan sejahtera,” jelasnya.

Terdahulu, hujan berterusan yang melanda sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan berlakunya banjir di beberapa negeri iaitu di Johor, Pahang, Negeri Sembilan,  Sabah dan Melaka.

Memetik laporan Bernama, seramai 27,467 mangsa banjir telah ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat pagi ini.

Di Johor, banjir buruk yang melanda negara itu menyaksikan jumlah mangsa yang dipindahkan di PPS meningkat kepada 25, 213 orang pada pagi ini berbanding 9,162 orang pada 8 malam tadi.

Batu Pahat menjadi daerah terbaharu terjejas daripada kesemua 10 daerah yang terlibat.

Media sosial juga sejak dari semalam ‘dihujani’ dengan perkongsian dari orang ramai dan juga mangsa yang terlibat dalam bencana itu.

Sumber: Astro Awani

Sofea

There's always another side to every story