Siakap Keli
lelaki buta huruf profesor kulit hitam termuda cambridge
Kredit: My Modern Met

Buta Huruf Di Usia 18 Tahun, Lelaki Kini Bergelar Profesor

Buta Huruf Di Usia 18 Tahun, Lelaki Kini Bergelar Profesor

Jason Arday, seorang ahli sosiologi terkemuka berjaya mencipta sejarah apabila menjadi antara profesor termuda di Universiti Cambridge.

Pada usia 37 tahun, pencapaian yang diraih oleh Jason membuka mata banyak pihak apabila orang ramai mengetahui latar belakang dirinya. Apatah lagi, universiti berkenaan merupakan antara univiersiti paling berprestij di dunia.

Lahir dan membesar di Clapham, selatan London, Jason didiagnos mengalami masalah pembelajaran dan autisme pada usia tiga tahun.

Beliau tidak dapat bercakap sehingga dirinya berusia 11 tahun serta tidak mampu membaca atau menulis sehingga berusia 18 tahun.

Walau bagaimanapun, beliau mempunyai kelebihan sendiri apabila cepat menangkap situasi yang berlaku di sekelilignya. Menurut Jason, beliau suka memerhati apa yang berlaku di sekitarnya dan sering berfikir tentang kehidupan, antaranya kenapa ramai gelandangan dan peperangan berlaku.

“Saya pernah berfikir, jika saya tidak dapat menjadi pemain bola ataupun pemain snuker profesional, saya pilih untuk menyelamatkan dunia,” kata Jason dalam satu temu bual bersama BBC.

lelaki buta huruf profesor kulit hitam termuda di cambridge
Kredit: My Modern Met

Ujar Jason lagi, ada beberapa detik bersejarah yang berlaku telah membuka matanya tentang dunia. Antaranya mengikuti rapat berita pembebasan Nelson Mandela daripada penjara serta kejayaan bersejarah Afrika Selatan dalam Piala Dunia Ragbi 1995.

Beliau turut memberi kredit kepada ibunya yang memperkenalkan muzik sebagai salah satu pembuka jalan untuknya berjaya. Ketika itu, ibunya berharap muzik dapat membantunya bertutur dan berlajar, namun tanpa disangka ia turut memberikan impak positif yang lain.

Dari masa ke masa, Jason mula berlajar membaca dan kemahiran berbahasanya menjadi bertambah baik.

Ia meningkatkan keyakinan dan kemahiran dirinya serta menyemai rasa cinta akan budaya popular yang membawa kepada penghasilan beberapa kajian beliau.

Kemudian, berkat bimbingan mentor dan tutor kolejnya, Sandro Sandri, Jason berjaya memperoleh ijazah dalam Pengajian Pendidikan dan Pendidikan Jasmani daripada University of Surrey.

Selepas itu, Jason mendaftarkan diri untuk menjalani latihan sebagai seorang guru Pendidikan Jasmani.

Kesukaran ketika menjalankan pengajian pada peringkat sarjana

Pada usia 22 tahun, beliau membuat keputusan untuk meneruskan pengajian pada peringkat sarjana. Pada waktu siang, beliau berkhidmat sebagai seorang guru Pendidikan Jasmani. Manakala, malamnya diisi dengan menulis kertas akademik dan mempelajari subjek sosiologi.

Pada waktu lapang pula, Jason bekerja sambilan di beberapa pasar raya bagi menampung yuran pengajiannya.

“Ketika saya mula menulis kertas akademik, saya tidak tahu apa yang saya cuba lakukan.

“Saya tidak mempunyai mentor dan tiada sesiapa yang menunjukkan bagaimana untuk menulis kertas-kertas ini. Segala penulisan yang dihantar telah ditolak mentah-mentah.

“Proses semakan sangat kejam, ada juga bersifat kelakar tetapi saya melihatnya sebagai satu pengalaman dalam pembelajaran dan saya mula menyukainya perlahan-lahan,” katanya lagi.

Pada suatu hari, kerja kerasnya mendatangkan hasil dan kertas kajian pertamanya berjaya diterbitkan pada 2018. Tiga tahun kemudian, beliau berjaya memegang jawatan profesor Pendidikan Sosiologi di University of Glasgow’s School of Education.

Impian untuk mengajar di Cambridge

Ketika Jason masih dalam tempoh pengajian dalam peringkat Doktor Falsafah (PhD), beliau telah menyenaraikan beberapa matlamat yang hendak dicapai.

“Satu hari, saya akan berkerja di Oxford ataupun Cambridge” kata Jason yang bersyukur impian tersebut menjadi kenyataan.

Bermula 6 Mac ini, beliau akan memulakan kerjayanya sebagai Profesor du universiti berkenaan.

Buta huruf pada usia 18 tahun, kini bergelar Profesor

“Kerja saya kali ini tertumpu bagaimana kita dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan yang kurang bernasib baik dan menyuburkan pendidikan peringkat tinggi,” kata Arday .

Mengimbas perbualan bersama mentornya yang cukup memberikan makna, Jason memuji mentornya itu.

“Sandro pernah memberitahu saya: ‘Saya rasa awak boleh buat benda ini: Saya rasa kita boleh mencabar manusia seluruh dunia dan memenanginya.’”

“Jika mengingatinya semula, ketika itulah saya mula mempercayai diri saya. Ramai ahli akademik berkata, mereka telah mengalami kejatuhan ketika berada dalam bidang kerja ini. Akan tetapi, sejak saat itu saya nekad dan fokus: Saya tahu bahawa ini akan menjadi matlamat saya,” katanya.

BACA: Redah Banjir Hantar Makanan, Nyaris Hanyut Kerana Arus Kuat

Sumber: My Modern Met

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma