Siakap Keli
kelas yoga arab saudi
Gambar: AFP

Kelas Yoga Di Universiti Bakal Diperkenalkan – Arab Saudi

Kelas Yoga Di Universiti Bakal Diperkenalkan – Arab Saudi

Arab Saudi dilaporkan bakal memperkenalkan kelas yoga di universiti untuk menekankan kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental.

Lapor Arab News, beberapa perjanjian akan ditandatangani bersama beberapa universiti utama di negara itu.

Presiden Jawatankuasa Yoga Saudi Nouf Al-Marwaai berkata persetujuan itu dibuat untuk menyokong dan mempromosikan yoga dalam beberapa bulan akan datang.

Al-Marwaai menjelaskan bahawa jawatankuasa yang terlibat telah berusaha keras untuk memperkenalkan yoga kepada warga universiti.

Jelasnya, ia selaras dengan memperkenalkan gaya hidup sihat dengan mengamalkan yoga dalam kalangan pelajar dan pensyarah.

“Yoga memberi banyak manfaat kesihatan (untuk) kesejahteraan fizikal dan mental,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa ia merupakan salah satu tonggak terpenting untuk mencapai Wawasan 2030 dalam meningkatkan penyertaan dalam aktiviti sukan.

Dalam pada itu, Al-Marwaai berkata ia diperkenalkan untuk mencapai kecemerlangan sukan di peringkat tempatan, benua dan antarabangsa.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbincangan bertajuk Pembangunan dan Promosi Permainan Sukan Baharu Di Universiti semasa forum dijalankan.

BACA: Arab Saudi Dedah Wajah Wanita Nabataean Purba Lebih 2,000 Tahun Dahulu

Yoga bukan sekadar meditasi

Beliau juga menjelaskan bahawa yoga bukan sekadar meditasi dan relaksasi yang mungkin dipercayai oleh sesetengah pihak.

Namun ia merangkumi latihan postur dan teknik pernafasan.

“Ia termasuk amalan postur Asana, teknik pernafasan Pranayama, kawalan otot Bandhas dan kemudian datang meditasi dan relaksasi Dhayan dan Yoga Nidra,” ujarnya.

Beliau turut menambah bahawa matlamat jawatankuasa itu bertujuan untuk menemui bakat pengamal yoga yang terkenal dalam semua jenis yoga secara umum atau sukan Yogasana.

Difahamkan juga, ia adalah untuk mengasah bakat dan menyokong mereka mengambil bahagian dalam mewakili kerajaan dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Pengumuman itu dibuat di Riyadh semasa forum yang dianjurkan oleh Persekutuan Sukan Universiti Saudi dengan kerjasama Kementerian Pendidikan baru-baru ini.

Forum itu bertajuk Peranan Sukan Di Universiti dalam Menyokong Visi Kerajaan.

Difahamkan beberapa pakar dan pemimpin antarabangsa dalam suka universiti, diketuai Presiden Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa Leonz Eder dan Paulo Ferreira, Ketua Pengarah Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa menghadiri acara itu.

Sumber: Arab News

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana