Lokasi Judi Sabung Ayam Diserbu, Tujuh Lelaki Ditahan
Kuala Langat– Tujuh lelaki berjaya ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan judi sabung ayam di kawasan lombong di Bandar Saujana Putra Ahad lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin selaku Pemangku Ketua Daerah Kuala Langat berkata serbuan ke atas kawasan itu dilakukan kira-kira pada jam 2.30 petang.

Hasil serbuan itu, polis berjaya menangkap warga tempatan dan seorang warga Vietnam. Suspek didapati berusia dalam lingkungan umur 31 tahun hingga 55 tahun.
BACA: Menang Laga Ayam Di Thailand, Lelaki Malaysia Ditembak Penduduk Tempatan
Serbuan Di Lokasi Kejadian
Difahamkan sebaik sahaja polis menyerbu di lokasi kejadian, kelihatan sekumpulan lelaki yang sedang leka bertarung menggunakan ayam jantan. Mereka juga terus melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis di lokasi terbabit.
“Ketika serbuan, sekumpulan lelaki sedang berkumpul untuk pertaruhan sabung ayam.
“Mereka yang menyedari kehadiran polis kemudian terus melarikan sebelum berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, polis merampas 25 ekor ayam jantan yang digunakan untuk kegiatan judi terbabit.
Siasatan Tangkapan Perjudian

Menurutnya lagi, nilai pertaruhan yang digunakan dalam perjudian ayam jantan bermula antara RM200 hingga RM500.
Mereka dipercayai melakukan kegiatan ini setiap hujung minggu dan sudah pun aktif sejak dua bulan lalu.
“Dipercayai, pengunjung adalah membabitkan mereka dari sekitar daerah Kuala Langat dengan pertaruhan dijalankan kebiasaannya pada hari minggu sahaja,” katanya.
Kes itu telah disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
BACA: Dua Lelaki Maut, Tertusuk Pisau Diikat Pada Ayam Sabung
Terdahulu, dua lelaki dilaporkan maut selepas tertusuk pisau yang dipasangkan kepada ayam jantan ketika acara sabung ayam di India beberapa bulan lalu.
Memetik laporan SK, seorang daripada mangsa adalah penonton bagi acara berkenaan dan seorang lagi merupakan pemilik kepada salah satu ayam yang dipertaruhkan.
Kedua lelaki itu maut selepas terkena pisau tajam yang diikat pada kaki ayam berkenaan.
Sumber: Sinar Harian