Siakap Keli
baby bertungku banyak manfaatnya
Kredit: Hello Doktor

Baby Bertungku Banyak Manfaatnya, Mama Jom Buat Tungku DIY Di Rumah

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Baby Bertungku Banyak Manfaatnya, Mama Jom Buat Tungku DIY Di Rumah!

Tidak dinafikan banyak persiapan yang anda lakukan dalam proses menunggu insan kecil anda lahir ke dunia. Misalnya dari aspek pakaian, katil dan segala keperluan anak kecil itu.

Memang begitulah kejadiannya, malah bukan hanya kita yang mengukir senyuman, kegembiraan ini turut dirasai oleh ahli keluarga dan juga kawan-kawan rapat.

Jadi, sebagai ibu bapa, anda semestinya ingin melakukan yang terbaik untuk anak anda. Tahukah anda, si kecil juga perlu berpantang?

Selalu dengar ibu lepas bersalin sahaja yang perlu berpantang bagaimanapun, anda perlu tahu banyak manfaat yang bayi akan dapat sekiranya dia melalui proses yang sama seperti ibunya.

Jadi, ikuti perkongsian daripada Hello Doktor untuk mengulas lebih lanju apa manfaat dan kebaikan yang si kecil itu perolehi. Semoga bermanfaat!

Perlu ke bayi bertungku dan apakah kelebihannya? Kalau ingin tahu jawapannya, teruskan membaca artikel ini, kerana kami turut menyediakan panduan cara guna tungku baby. Semoga bermanfaat.

Manfaat tungku baby

Ketika tempoh berpantang berlangsung, bukan hanya ibu sahaja yang perlu bertungku, bahkan si kecil juga disarankan untuk melalui proses bertungku ini.

Bertungku melibatkan proses menuam, iaitu menekap sesuatu herba panas pada bahagian badan untuk mengeluarkan angin.

baby bertungku banyak manfaatnya
Kredit: Hello Doktor

Seperti proses bertungku yang diamalkan buat ibu selepas bersalin, sudah tentu bertungku untuk bayi juga menawarkan manfaat tertentu kepada si comel, seperti:

  • Mengelakkan bayi daripada terkena angin pasang
  • Mengatasi masalah angin badan berlebihan
  • Mengatasi masalah kembung perut bayi
  • Mengatasi masalah bengkak dan lebam pada tubuh bayi akibat terhantuk atau terjatuh
  • Memberikan keselesaan kepada bayi, sekali gus membolehkan mereka tidur dengan lebih lena
  • Melegakan batuk dan selesema bayi
  • Menghindari bayi daripada mengalami kesejukan berlebihan

Sudah tentu kebaikan tungku bayi yang utama untuk melakukan proses bertungku kepada si kecil adalah menjadikan mereka lebih selesa dan tidak meragam disebabkan perut masuk angin.

Keadaan itu secara tidak langsung akan mendorong bayi untuk lebih mudah tidur, khususnya pada waktu malam.

Tetapi apakah cara guna tungku baby yang betul ya?

Tungku bayi DIY

Teknikalnya, proses bertungku untuk bayi ini boleh dilakukan dengan sebarang material yang boleh dipanaskan dan dibiarkan suam sebelum dituam ke atas badan si manja.

Sebenarnya untuk membuat tungku ini amat mudah dengan hanya menggunakan bahan yang terdapat di dapur sahaja.

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Perca kain kecil sebagai lining
  • Kain daripada material kapas. Jika ingin menggunakan stoking bayi yang sudah tidak dipakai pun boleh
  • Herba kering seperti lada hitam, habbatus sauda, biji ketumbar, halba dan biji sawi
  • Tali kapas
baby bertungku banyak manfaatnya
Kredit: Hello Doktor

Cara menghasilkan tungku bayi DIY:

  1. Sangaikan – goreng tanpa minyak – campuran herba tersebut sehingga naik bau.
  2. Lapik kain kapas di atas kain perca dan letakkan herba yang disangai.
  3. Kemudian, ikat kain tersebut menggunakan tali kapas sehingga menjadi bentuk seakan bunjut atau tungku.
  4. Kemaskan lebihan kain dan ikat sekali lagi supaya ikatan lebih kuat.
  5. Jika anda menggunakan stoking, masukkan herba tersebut ke dalam stoking yang dialas dengan kain perca – kemudian ikat dengan kemas.
  6. Apabila ingin digunakan, panaskan bunjut sehingga suam sebelum dituam ke atas badan si manja.

Cara guna tungku baby

Berikut dikongsikan beberapa petua mengenai cara penggunaan tungku bayi ini, seperti:

Kesesuaian waktu

Waktu terbaik untuk melakukan tuaman adalah selepas bayi dimandikan, sama ada sebelum atau selepas mengurut badannya.

Penggunaan tungku ini juga boleh dibuat sebelum waktu tidur agar si kecil dapat tidur dengan lebih nyenyak.

Selesai tuaman, anda bolehlah membedung bayi untuk memberikan keselesaan tambahan buat si manja.

Teknik penggunaan tungku baby

Sebelum menuam si kecil, tungku perlu dipanaskan – dalam suhu suam-suam – agar bayi mendapat khasiat daripada proses ini.

Antara teknik pemanasan tungku yang boleh dicuba adalah dengan meletakkannya di atas periuk nasi. Kaedah kedua adalah dengan menggunakan seterika sehingga tungku terasa hangat.

Tidak kira cara yang mana anda lakukan, paling penting pastikan ia tidak terlalu panas untuk kulit bayi. Bagaimana caranya?

Cuba tekapkan tungku pada belakang tapak tangan untuk menentukan kesesuaian suhunya. Kemudian barulah letakkan tungku pada bahagian tubuh bayi.

baby bertungku banyak manfaatnya
Kredit: Hello Doktor

Bahagian tubuh perlu dituam dengan tungku baby

Prosedur menuam bayi ini dikatakan bagus untuk dilakukan pada bahagian belakang badannya – bermula bahu hingga ke pinggang.

Selain itu, digalakkan juga menuam pada bahagian perut, berdekatan pundi kencing serta pelipat dan tapak kaki untuk tempoh beberapa minit. Tujuannya bagi mengurangkan kembung perut pada bayi.

Ibu-ibu juga digalakkan untuk menuam pada bahagian alat kelamin anak lelaki bagi mengelakkan angin pasang.

 

Tempoh menuam

Sebaiknya proses bertungku untuk bayi ini dilakukan sehingga si kecil sudah belajar meniarap – sekitar 5 hingga 6 bulan. Tetapi anda juga boleh meneruskannya sehingga bayi genap usia setahun.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau keraguan, berundinglah dengan doktor atau pakar kanak-kanak untuk mendapatkan lebih kepastian.

 

Sumber: Hello Doktor

Florence Nuar