KKM Peruntuk RM9.3 Juta Baik Pulih 38 Klinik Daif Di Kelantan
KOTA BHARU (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan RM9.3 juta bagi tujuan baik pulih dan menaik taraf 38 klinik kesihatan yang daif di Kelantan tahun ini.
Timbalan Menterinya Lukanisman Awang Sauni berkata peruntukan itu diluluskan oleh kerajaan menerusi Belanjawaan 2023 bagi mengurangkan kesesakan di hospital.
“Projek baik pulih klinik daif ini dapat mempertingkatkan perkhidmatan di peringkat awal penjagaan kesihatan, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di hospital kerana rawatan awal dan ringan dapat dibuat di klinik kesihatan terlebih dahulu.
“Peruntukan ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan, selain memberi manfaat dan menjaga kebajikan rakyat di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tanah Merah di sini semalam.
Bangunan tambahan itu yang memulakan pembinaannya pada 2018 dengan kos RM153.2 juta, dijangka beroperasi pada 1 Mei depan secara berfasa dengan lebih 400,000 penduduk di sekitarnya bakal menerima manfaat itu.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata pihaknya dimaklumkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) terdapat empat lagi projek fasiliti kesihatan di Kelantan bakal disiapkan pada April tahun ini.
“Empat projek itu adalah dua di Kuala Krai iaitu Klinik Kesihatan Karangan; Klinik Kesihatan dan Kuarters Peria, manakala masing-masing satu di Machang dan Tanah Merah iaitu Klinik Kesihatan dan Kuarters Mata Ayer; Klinik Kesihatan dan Kuarters Sokor.
“Selain itu, Hospital Bachok pula dijangka siap pembinaannya pada Oktober depan dan akan dapat beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2024,” katanya.
Belanjawan 2023: RM 1.2 bilion diperuntukkan untuk baik pulih klinik & sekolah daif
Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada hari ini telah membentangkan Bajet 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.
Bajet yang dibentangkan pada hari ini merupakan belanjawan pertama dibentangkan Kerajaan Perpaduan dibawah pimpinan Perdana Menteri Kesepuluh itu.
Bukan itu sahaja, Bajet 2023 Malaysia Madani yang dibentangkan pasti akan menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia. Terutamanya dengan keadaan ekonomi negara yang begitu mencabar ketika ini.
Pembentangan bajet tersebut telah memperuntukkan sebanyak RM 1.2 bilion bagi membaik pulih 400 klinik daif dan 380 sekolah daif.
Untuk menyegerakan pelaksanaan projek, had sebut harga perolehan kerja pembaikan sekolah dan klinik daif ditingkatkan kepada 1 juta berbanding 500 ribu ringgit serta perolehan secara cabut undi kepada 200 ribu berbanding 100 ribu ringgit.
Sumber: BERNAMA
BACA: Belanjawan 2023: RM 1.2 Bilion Diperuntukkan Untuk Baik Pulih Klinik & Sekolah Daif