- Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan telah menetapkan protokol import untuk memastikan setiap haiwan dan produk haiwan yang ingin dibawa masuk ke negara ini mestilah bebas daripada sebarang penyakit yang boleh memudaratkan tumbuhan, haiwan dan juga rakyat Malaysia.
- Justeru itu, mana-mana syarikat yang ingin mengimport haiwan dan produk haiwan perlu merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk memastikan negara sumber tersebut tersenarai dalam negara yang diluluskan. Bagi negara yang belum diluluskan, Analisa Risiko Import perlu dijalankan terlebih dahulu. Setelah melepasi analisa tersebut dan diluluskan di peringkat Kementerian, baharulah produk tersebut dibenarkan untuk diimport. Mana-mana syarikat yang ingin mengimport boleh membuat permohonan melalui website Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di: https://www.maqis.gov.my/index.php/permohonan-permit/
- Pada 6 Disember 2022, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu telah mengumumkan kebenaran bagi mengimport telur dari sumber luar sebagai langkah sementara untuk mencukupkan kekurangan bekalan telur dalam negara yang agak meruncing sejak bulan Oktober 2022. Maka kelulusan khas sementara sehingga 30 Jun 2023 telah diberikan kepada syarikat J&E Advance Tech Sdn. Bhd. dan syarikat pengeksport telur di India yang mempunyai kapasiti pembekalan dan juga sedang membekalkan telur ke Qatar ketika Piala Dunia 2022.
- Bagi memastikan rakyat menerima telur ayam import yang selamat, bersih dan bebas daripada segala penyakit, MAQIS dan DVS telah melaksanakan kawalan kemasukan telur ayam import di pintu masuk negara ini secara ujian Hold, Test and Release (HTR), yang merangkumi ujian PCR untuk pengesanan bakteria Salmonella, virus Newcastle Disease dan Avian Influenza. Hanya telur ayam yang lepas ujian HTR sahaja yang dibenarkan masuk ke negara ini. Setakat ini tiada telur ayam yang diimport yang gagal ujian ini.
- Kerajaan Malaysia tidak ada memberikan subsidi kepada telur ayam import sepertimana yang dinikmati pengeluar telur ayam tempatan. Sebarang perbelanjaan dan risiko untuk mengimport telur ayam ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat pengimport dan tiada dana awam yang digunakan. Kebenaran mengimport telur ayam boleh ditamatkan pada bila-bila masa apabila bekalan telur dalam negara telah pulih dan stabil.
- Berdasarkan rekod DVS, sejak Januari 2023 usaha Kerajaan Perpaduan untuk mengatasi kekurangan bekalan telur ayam dalam negara telah mula menunjukkan perkembangan yang positif seperti dalam jadual berikut:
BULAN / TAHUN | UNJURAN KURANGAN / LEBIHAN
BEKALAN TELUR AYAM |
10/2022 | -118,272,070 |
11/2022 | –157,543,291 |
12/2022 | -1,282,094 |
01/2023 | +160,649,928 |
- Sehubungan itu, Kerajaan akan sentiasa memastikan langkah-langkah proaktif untuk memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi dan terjamin.