10 Kenderaan Remuk Dalam Nahas Babitkan Sebuah Lori Di Sandakan
Seorang individu dilaporkan patah kaki selepas 11 kenderaan terlibat dalam kemalangan di Batu 31, Jalan Labuk pada Selasa lalu, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, panggilan berhubung kejadian diterima pasukannya pada jam 4.43 petang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan pemandu sebuah lori dumper mengawal kenderaannya yang sedang bergerak dari arah Batu 32 menghala ke Bandar Sandakan sehingga melanggar tujuh kenderaan di hadapannya yang sedang berhenti menunggu giliran untuk bergerak kerana kerja menampal lubang di atas jalan sedang dilakukan.
“Akibat kejadian itu, kenderaan telah tersorong ke hadapan dan melanggar kenderaan lain di hadapannya dan pada masa sama kenderaan yang dilanggar telah masuk ke laluan bertentangan serta merempuh tiga lagi kenderaan lain dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.
Seorang individu patah kaki
Menurutnya lagi, seorang dilaporkan mengalami kecederaan patah kaki dan sedang dirawat di Hospital Kinabatangan akibat daripada kejadian itu.

“Sementara itu, pemandu dan penumpang lain tidak mengalami kecederaan.
“Siasatan kes kemalangan diklasifikasikan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.
BACA: Patutnya Kena Bayar RM22.40, Sekali Kat Kaunter Cashier Minta RM8 Ja
Berhubung kejadian itu, Abdul Fuad sempat menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu.
Selain itu, pengguna juga perlu untuk memastikan kenderaan yang dipandu berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan.
Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan video berdurasi 21 saat yang memaparkan kejadian tersebut. Video itu menunjukkan keadaan kemalangan yang melibatkan kenderaan yang banyak telah berlaku di Sandakan.
Sumber: Sinar Harian