Siakap Keli
rusia dron amerika terhempas
Gambar: AFP

Amerika Dakwa Jet Pejuang Rusia Punca Dron Miliknya Terhempas

Amerika Dakwa Jet Pejuang Rusia Punca Dron Miliknya Terhempas

Salah sebuah pesawat pejuang Rusia didakwa telah memintas sebuah dron milik Amerika dan melakukan pergerakkan hingga menyebabkannya terhempas di Laut Hitam. Amerika Syarikat mengencam tindakan tersebut dan menuduh ia sebagai ‘melulu’.

Memetik AFP, dua pesawat pejuang Rusia Su-27 didakwa memintas dron MQ-9 Reaper dan melanggar kipas dron berkenaan. Amerika mendakwa ketika kejadian dron miliknya sedang terbang di atas ruang udara laut antarabangsa.

Amerika juga menegaskan dron tersebut terlibat dalam rutin penerbangan ISR (perisikan, peninjauan dan pengawasan)  biasa.

“Beberapa kali sebelum pelanggaran itu berlaku, Su-27 didapati membuang bahan api dan terbang di hadapan MQ-9 secara melulu dan tidak profesional,” katanya.

Amerika Syarikat dilapor telah memanggil Duta Rusia dan menyatakan protes berhubung insiden berkenaan. Moscow dalam pada itu bertegas menafikan tuduhan yang dibuat oleh Amerika Syarikat.

“Dron tanpa pemandu MQ-9 itu tidak dapat mengawal penerbangannya dan terhempas pada permukaan air,” kata Kementerian Pertahanan Rusia.

Kementerian itu juga menegaskan dua jet pejuang Rusia tidak bertembung dan tidak menggunakan sebarang senjata ke atas dron tersebut.

Bagaimanapun, Jurucakap Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, John Kirby menyangkal penafian dibuat Rusia.

”Secara terang-terangan, kami menyangkal penafian yang dikeluarkan oleh pihak Rusia,” katanya.

Amerika Syarikat ketika ini sedang berusaha untuk menghalang bangkai dan serpihan dron berkenaan daripada jatuh ke tangan pihak lain.

“Kami telah mengambil langkah untuk melindungi ekuiti kami berkenaan dron tersebut.

“Jelas sekali,  kami tidak mahu melihat sesiapa sahaja mendapatkannya (dron tersebut), selain daripada pihak kami sendiri,” katanya lagi.

Beberapa maklumat mengenai dron MQ-9 Reapers

Untuk makluman, Amerika  menggunakan MQ-9 Reaper untuk tujuan peninjauan dan serangan balas. Dron berkenaan sekian lama menjadi nadi operasi Amerika di Laut Hitam. Ia dipercayai bagi memantau pergerakan armada Tentera Laut Rusia yang berpangkalan disitu.

Selain kejadian terkini, Amerika telah kehilangan beberapa dron MQ-9 Reaper sebelum ini, termasuklah ketika terlibat dalam misi pertempuran. Salah satunya dalam insiden ditembak jatuh oleh kumpulan Huthi di Yaman pada 2019.

Selain itu, media juga pernah melaporkan dron model yang sama terhempas di Libya pada 2o22. Manakala, sebuah lagi terhempas ketika dalam latihan di Romania pada tahun yang sama.

Menurut Tentera Udara Amerika, MQ-9 Reaper boleh dipersenjatakan dengan misil Hellfire dan juga bom panduan laser. Dron tersebut juga memiliki keupayaan jarak operasi melebihi 1,770 kilometer dan terbang pada altitud sehingga 15,000 meter.

BACA: ‘Kita Mesti Berfikiran New York Tetapi Berjiwa Mekah’ – Ahmad Zahid

Sumber: AFP 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma