Siakap Keli
ahmad zahid berfikiran new york
Gambar: siaran langsung Agenda Awani

‘Kita Mesti Berfikiran New York Tetapi Berjiwa Mekah’ – Ahmad Zahid

Kita Mesti Berfikiran New York Tetapi Berjiwa Mekah – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan graduan yang berkualiti dilahirkan daripada keseimbangan antara kesejahteraan fizikal dan rohani.

Menurutnya, difahamkan keseimbangan tersebut dipercayai berupaya melahirkan keberhasilan seimbang yang menyentuh elemen duniawi dan ukhrawi serentak.

“Saya sering berceramah, bahawa kita mesti berfikiran New York tetapi berjiwa Mekah, ertinya berlaku keseimbangan dan kita mahu kemajuan dalam masa yang sama kita mempertahankan agama,” katanya.

Ahmad Zahid berkata bagi mengelakkan berlaku ketidakseimbangan, trasformasi akan dilakukan di institusi pendidikan pra-sekolah, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), institusi TVET, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech MARA (UPTM), di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Kombinasi soal keterampilan, kemahiran dan nilai akademik. Kadang-kadang orang lihat hanya nilai akademik. Kita lakukan transformasi kepada kerjaya pekerja kolar putih dan kolar biru.

“Ramai yang dulu memandang rendah kepada pekerja kolar biru. Mereka mahu anak-anak menjadi ahli profesional. Sebenarnya dari segi pendapatan, pekerjaan kolar biru memberikan pulangan kerjaya yang cukup baik,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda Awani yang bertajuk Pasca 100 hari Kerajaan Perpaduan yang berlangsung pada semalam.

Ahmad Zahid berkata KKDW melalui tujuh agensi, pelbagai jabatan dan kerjasama dengan pihak swasta akan merealisasikan penyediaan sistem pendidikan pra sekolah hingga ke peringkat universiti.

BACA: KKDW Peruntuk RM1.7 Juta Bagi Pelaksanaan Program Pendigitalan Usahawan Desa

Akui graduan tidak terima gaji setimpal dengan kelayakan

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengakui graduan pada masa kini tidak menerima gaji yang setimpal dengan kelayakan mereka dan  dipanggil sebagai missmatch.

Ujarnya, disebabkan itu graduan yang dilahirkan oleh KKDW mesti disasarkan untuk mendapatkan gaji sekurang-kurangnya RM2,000.

Itu merupakan penanda aras kementerian walaupun graduan TVET mendapat tawaran kerja dengan gaji yang lebih baik.

“Lazimnya, keluaran TVET ini memperoleh lebih daripada itu sebenarnya, kerana kemahiran mereka memerlukan produktiviti yang tinggi pada pihak syarikat.

“Itu sebabnya Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memberi penekanan bahawa TVET mesti bekerjasama dengan pihak swasta,” jelasnya.

Ahmad Zahid turut berharap kesemua agensi berkaitan akan memberi kerjasama untuk merealisasikan program KKDW dalam membantu rakyat.

Ujar Zahid, fokus tersebut bukan hanya di kawasan desa namun akan diberikan kepada seluruh rakyat supaya segala keperluan penting dapat di tampung tanpa masalah.

Petikan kenyataan tersebut boleh dirujuk melalui video di bawah pada durasi 24:20.

Sumber: Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana