Siakap Keli
jelajah isu kumpulan sulu
Kredit: Bernama

Kerajaan Akan Adakan Siri Jelajah Perjelas Isu Kumpulan Sulu Di Luar Negara – Ahmad Zahid

Kerajaan Akan Adakan Siri Jelajah Perjelas Isu Kumpulan Sulu Di Luar Negara – Ahmad Zahid

KOTA BHARU, 15 Mac (Bernama) — Kerajaan akan mengadakan siri jelajah untuk memperjelaskan isu tuntutan kumpulan sulu di beberapa negara, yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tujuan jelajah itu diadakan untuk menjelaskan bahawa kumpulan Sulu itu pengganas, selain mengelakkan persepsi tidak baik kepada Malaysia yang melakukan kezaliman kepada mereka.

“Penjelasan berhubung isu tuntutan kumpulan Sulu ini perlu dilakukan, kerana masyarakat dunia tidak mengetahui perkara sebenar dan mendakwa kononnya mereka ini golongan pemisah.

“Perkara ini perlu dihebohkan, kerana mereka ini bukan sahaja dikategorikan sebagai penyeludup atau penceroboh, tetapi juga sebagai pengganas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra bersama Kakitangan KEMAS Kelantan, di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan negeri, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Kemas Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi.

Sebelum ini, Sekretariat Khas Sulu memaklumkan Malaysia sedang meneliti semua langkah sedia ada untuk menentang tuntutan kumpulan Sulu, dalam usaha memelihara kedaulatan negara.

Kerajaan juga sedang membuat semakan lanjut, untuk menentukan sekiranya mana-mana daripada lapan penuntut kumpulan tersebut mempunyai pertalian, hubungan kekeluargaan atau waris kepada kumpulan pengganas Tentera Diraja Sulu (RSF), yang telah dihukum oleh Mahkamah dalam kes pencerobohan Lahad Datu, Sabah.

Kerajaan Malaysia menegaskan bahawa hak dan tuntutan penuntut itu tidak sah, terbatal dan ditamatkan melalui pelaksanaan hak penentuan nasib sendiri oleh rakyat Sabah, melalui perundingan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 serta pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1963.

BACA: Tuntutan Kumpulan Sulu: RM31 Juta Bagi Pengendalian Kes Mahkamah

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma