Siakap Keli
anwar politik murahan
Kredit: BERNAMA

‘Saya Bukan Kelas Ahli Politik Murahan’ – Anwar

‘Saya Bukan Kelas Ahli Politik Murahan’ – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan ahli politik murahan yang akan menganiaya orang lain.

Anwar sebaliknya meminta pihak terbabit untuk mengemukakan bukti sekiranya benar beliau mencampur tangan dalam mana-mana kes yang melibatkan ahli politik dari partinya termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kenyataan yang tidak ditampilkan buktinya boleh bertukar menjadi zalim dan fitnah ke atas dirinya.

“Kita tolak kezaliman dan fitnah, jangan hukum orang tanpa bukti. Maka kalau ada tindakan jangan hukum saya. Jangan guna ayat al-Quran hukum saya (sebagai) zalim dan campur tangan.

“Saya nak beritahu pimpinan (pembangkang) di sebelah sana. Saudara boleh jerit dan (buat andaian) sesuka hati. Saudara kena ingat sebagai seorang muslim bertanggugjawab, adakah saudara yakin ada bukti bahawa Anwar campur tangan untuk mendakwa sesiapa. Kalau tidak (tiada bukti) zalim jawabnya.

“Guna nama agama dan fitnah orang, sebut nama saya. Saya tidak campur (tangan). Boleh tanya SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan Peguam Negara, malah (saya beri) arahan kepada mereka saya kata, apa pun tindakan berdasarkan fakta (dan) bukti kuat saya sokong,” katanya.

BACA: Kerajaan Perpaduan Akan Kekal Bertahan Sehingga Tamat Penggal – Anwar

Ujar Ahli Parlimen Tambun itu, sesuatu penganiayaian tidak boleh dibuat berdasarkan kedudukan seseorang.

“Tetapi jangan aniayai, jangan ada satu alasan yang longgar yang boleh dicabar dan dipertikai, saya tidak mahu. Soal nak kecam dari segi politik boleh kecam, tetapi ingat jangan kita guna kedudukan untuk menganiayai.

“Kalau bukti ada, aniaya macam mana? Saya tidak peduli, ada orang kata (kes) Timbalan Perdana Menteri (tarik balik). Kes Timbalan Perdana Menteri masih di mahkamah, saya tidak campur.

“Boleh tanya ketua hakim negara, boleh tanya peguam negara. Bila saya campur minta dikurangkan atau ditarik balik pertuduhan.

“Soal tomahan, kita jangan mudah untuk menghukum. Saya bukan kelas politician yang murah begitu rupa, ini yang saya nak tegaskan di sini,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai tindakan kerajaan yang memfokuskan kepada pembangkang semata-mata.

Sumber: Awani

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana