YouTuber Jepun Terpilih Jadi Ahli Parlimen Dipecat, Langsung Tak Pernah Hadir Bersidang
Seorang bintang YouTube yang dipilih untuk menjadi ahli parlimen Jepun telah dipecat kerana gagal menghadirkan diri walaupun sehari di parlimen.
Memetik CNN, pada sidang pleno yang diadakan Rabu lalu, ahli parlimen Jepun telah sebulat suara memecat Yoshikazu Higashitani kerana ketidakhadirannya yang berterusan.
Pemecatan itu merupakan kali pertama dalam sejarah parlimen Jepun sejak lebih tujuh dekad lalu.
Yoshikazu yang lebih dikenali dengan nama GaaSyy di saluran YouTube miliknya sering berkongsikan cerita berkenaan gosip selebriti.
Terdahulu, beliau telah dipilih menjadi Dewan Tinggi parlimen Jepun pada Julai 2022 lalu.
Namun begitu, beliau telah gagal menjawab ‘surat jemputan’ daripada Speaker Dewan Tinggi. Tak hanya itu, beliau juga turut tidak hadir pada sidang pleno 8 Mac lalu termasuk sidang parlimen lain sejak pemilihannya.
Undang-undang parlimen Jepun menetapkan bahawa ahli parlimen diwajibkan untuk datang ke Dewan pada setiap hari persidangan dijalankan.
Pada sidang pleno 8 Mac lalu, GaaSyy dilaporkan berada di luar negara oleh media tempatan Jepun.
BACA: Patutnya Kena Bayar RM22.40, Sekali Kat Kaunter Cashier Minta RM8 Ja
Berada di Turkiye untuk misi bantuan
Dalam sebuah perkongsian video, GaaSyy berkata bahawa beliau akan ke Turkiye untuk membantu mangsa gempa bumi di kawasan yang terjejas baru-baru ini, lapor media bersama CNN iaitu TV Asahi pada 6 Mac lalu.
Sebelum ini, GaaSyy telah diminta untuk melakukan permohonan maaf atas ketidakhadirannya di parlimen. Namun sehingga kini beliau masih tidak melakukan permohonan maaf tersebut.
Ekoran dari itu, jawatankuasa tatatertib Dewan Tinggi pada Selasa lalu sebulat suara telah memutuskan untuk memecatnya sebagai ahli parlimen.
Ianya difahamkan merupakan hukuman yang paling berat buat ahli parlimen yang sering tidak hadir pada persidangan.
Pemecatan beliau adalah yang pertama dalam tempoh 72 tahun di bawah perlembagaan Jepun semasa.
Terdahulu, terdapat dua ahli parlimen pernah dikenakan hukuman yang sama. Seorang daripadanya merupakan ahli dewan tinggi pada tahun 1950 dan seorang lagi ahli dewan rakyat pada tahun 1951.
Sementara itu, media Jepun melaporkan bahawa GaaSyy enggan menghadiri parlimen kerana takut ditangkap jika dia pulang ke negaranya itu.
Beliau juga pernah disaman oleh beberapa selebriti berhubung kandungan video YouTube miliknya yang memfitnah.
Polis Metropolitan Tokyo juga telah meminta GaaSyy untuk membantu siasatan dengan memberi keterangan secara sukarela kepada polis.
Sumber: CNN