Siakap Keli
el chapito menembak mati lapan orang
Kredit: Bernama

“El Chapito” Remaja 14 Tahun Yang Membunuh Lapan Orang Ditahan Polis

“El Chapito” Remaja 14 Tahun Yang Membunuh Lapan Orang Ditahan Polis

WASHINGTON, 17 Mac (Bernama-UPI) — Pihak berkuasa Mexico menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang digelar El Chapito sempena nama raja dadah Mexico yang terkenal, atas pertuduhan terlibat dalam menembak mati lapan orang.

Jabatan Keselamatan Awam Amerika Utara mengumumkan penahanan itu menerusi satu kenyataan pada Khamis, menurut United Press International (UPI).

Pihak berkuasa berkata remaja lelaki yang tidak dikenali itu adalah seorang daripada dua orang yang melepaskan tembakan ke atas sebuah keluarga yang meraikan hari lahir di kejiranan Fundidores di Chimalhuacan, sebuah bandar di timur laut Mexico City, yang membunuh lapan orang dan mencederakan tujuh yang lain, termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

Polis berkata remaja itu adalah antara sembilan orang yang ditahan semasa operasi 12 jam antara lewat 10 Mac dan awal Sabtu di Chimalhuacan dan bandar Nezahualcoyotl berdekatan.

Seorang lagi didakwa berhubung kes tembakan itu manakala selebihnya didakwa dengan pertuduhan jenayah berkaitan dadah, kata jabatan itu.

Tertuduh dewasa dibawa ke Pusat Reintegrasi Sosial dan Penjara Neza-Bordo manakala remaja itu diserahkan kepada hakim kawalan khusus dalam Sistem Keadilan Jenayah Komprehensif untuk Remaja, katanya.

“El Chapo”, yang nama sebenarnya Joaquin Guzman, menjalani hukuman penjara seumur hidup di penjara Colorado setelah didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan berkaitan kedudukannya sebagai ketua kartel Sinaloa yang terkenal.

Jenayah kekerasan dalam kalangan remaja merupakan perkara biasa di negara ini. Pada awal 2010-an, seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang digelar El Ponchis ditangkap dan didakwa sebagai pembunuh upahan untuk kartel dadah Mexico, menurut laporan itu.

BACA: Jangan Hangatkan Suhu Agama, Kaum – PM Anwar

Sumber: Bernama

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma