Siakap Keli
icc waran tangkap putin
Kredit: AFP

ICC Keluarkan Waran Tangkap Ke Atas Vladimir Putin

ICC Keluarkan Waran Tangkap Ke Atas Vladimir Putin

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memaklumkan pihaknya telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini.

Waran tangkap ini dikeluarkan atas dakwaan mengusir kanak-kanak Ukraine yang disifatkan menyalahi undang-undang.

Selain Putin, ICC turut mengeluarkan waran tangkap yang sama ke atas Maria Lvova-Belova, Pesuruhjaya Hak Kanak-kanak Rusia.

“Hari ini, Bilik Pra-perbicaraan II Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap ke atas dua orang individu dalam konteks situasi yang berlaku di Ukraine: Vladimir Vladimirovich Putin dan Maria Alekseyevna Lvova-Belova,” kata ICC dalam sebuah kenyataan.

Putin telah didakwa bertanggungjawab bagi jenayah perang iaitu ” mengusir populas (kanak-kanak) dan memindahkan mereka secara haram daripada kawasan Ukraine yang dikuasai Rusia”

Walau bagaimanapun, Rusia bukan merupakan ahli ICC. Justeru, ia menimbulkan tanda tanya bagaimana ICC mahu menguatkuasakan waran tangkap tersebut.

ICC berkata bahawa jenayah perang tersebut berlaku pada 24 Febrari 2022, ketika Rusia menceroboh Ukraine.

“Terdapat beberapa asas yang kukuh bahawa Putin secara individu bertanggungjawab dalam semua jenayah yang dinyatakan,” kata ICC lagi.

Putin didakwa bertanggunjawab dalam kedua kesalahan itu dengan terlibat secara langsung dalam tindakan tersebut. Putin juga didakwa gagal mengawal orang awam dan askarnya yang melakukan kesalahan tersebut, atau membenarkan mereka melakukan jenayah tersebut.

Sebelum ini, ICC merahsiakan waran tangkap berkenaan bagi melindungi mangsa dan saksi kes.

Untuk makluman, ICC merupakan langkah terakhir bagi menghentikan jenayah perang dan kemanusiaan yang dilakukan oleh sesebuah negara.

Pendakwaraya, Karim Khan telah melancarkan siasatan bagi pertuduhan jenayah perang Rusia terhadap Ukraine yang disifatkan melanggar hak asasi kemanusiaan.

Ujar Khan semasa melawat Ukraine pada awal bulan ini, kanak-kanak Ukraine yang didakwa telah diculik diletakkan sebagai keutamaan penyiasatannya.

“Kanak-kanak tidak boleh dianggap sebagai harta rampasan perang,” kata beliau dalam satu kenyataan pada 7 Mac lalu.

BACA: Berjaya Tanam Sendiri, China Bakal Tuai 2,450 Tan Durian Jun Ini

Sumber: AFP

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma