Siakap Keli
china tuai durian
Sumber: Youtube

Berjaya Tanam Sendiri, China Bakal Tuai 2,450 Tan Durian Jun Ini

Berjaya Tanam Sendiri, China Bakal Tuai 2,450 Tan Durian Jun Ini

China dilapor akan mula menuai hasil durian mencecah ribuan tan metrik pada tahun ini menerusi ladang-ladangnya yang terletak di wilayah Hainan.

Menerusi laporan media tempatan, ladang seluas 93 hektar sedia untuk dituai melibatkan hasil yang dianggarkan sekitar 2,450 tan metrik durian.

Secara keseluruhan, hasil berkenaan akan memberi pulangan kepada peladang-peladang mencecah 140 juta Yuan (RM 91.36 juta).

Ladang durian yang sedia dituai itu merupakan sebahagian daripada 560 hektar ladang durian yang terletak di Tapak Penanaman Durian Ekologi Yucai, di Sanya.

Tapak penanaman tersebut dimiliki oleh Hainan Youqi Agricultural Company yang diasaskan sekitar 2018. Syarikat berkenaan kini muncul sebagai syarikat terbesar yang terlibat dalam industri durian di Hainan.

Syarikat berkenaan dilapor mengimport lebih 30 orang pakar penanaman durian dari Asia Tenggara dalam usahanya untuk membuka ladang tersebut. Malah, syarikat-syarikat tersebut turut melantik saintis terkenal tempatan seperti jurutera holtikultur dan juga agronomis untuk membantu mereka.

Selain itu, syarikat tersebut juga turut menjalinkan kerjasama dengan institut-institut penyelidikan tempatan dalam menghasilkan benih yang sesuai dengan cuaca tempatan.

Antaranya, Chinese Academy of Sciences, Chinese Academy of Tropical Agricultural Sciences dan Hainan Academy of Agricultural Sciences.

Setakat ini, Youqi memiliki benih anak pokok merangkmi lebih dari 100 baka durian, yang mana sebahagiannya berasal dari Thailand, Malaysia dan Vietnam.

Usaha Sanya untuk mengembangkan industri durian di China

Menurut seorang pegawai dari Jabatan Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Wilayah Hainan, Sanya mula menjadi kawasan peladangan durian sejak empat tahun lalu.

Sejak itu, daerah tersebut mula memfokuskan bidang pengeluaran durian sebagai salah satu industri utamanya.

Buat masa sekarang, kira-kira 670 hektar tanah di Sanya telah dikhususkan bagi tanaman Raja Buah, iaitu dalam 20 – 30 peratus pokok-pokok bakal berbuah dalam masa terdekat.

Mereka menyasarkan ladang durian di daerah itu akan bertambah kepada 3,300 hektar dalam masa lima tahun lagi.

Selepas itu, mereka menjangkakan durian bakal memberi saingan kepada mangga sebagai tanaman buahan utama di daerah tersebut.

Selain itu, pengembangan ladang durian ini juga akan menghidupkan pelbagai peluang perniagaan lain. Antaranya pembinaan pelbagai fasiliti seperti fasiliti pemprosesan, pembungkusan dan penyimpanan durian.

Jika semuanya berjalan seperti apa yang dirancang, Sanya akan memusatkan industri ini pada tapak penanaman Yucai dan merangka model yang mampu menghubungkan antara syarikat-syarikat bersama golongan petani.

Secara keseluruhan, wilayah Hainan kini memiliki lebih dari 2,000 hektar kawasan penanaman durian. Selain Sanya, ladang-ladang durian lain terletak di daerah Baoting, Ledong dan Lingshui.

BACA: JHEAT Tahan 11 Lelaki, Disyaki Ponteng Solat Jumaat

Sumber: Producer Report 

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma